NAMPULA – Mozambique kini menggilai kacang gajus dan ia juga meningkatkan perkembangan ekonomi negara tersebut.
Mozambique merupakan pengeluaran kacang gajus terbesar di dunia namun ia juga menyaksikan tempoh-tempoh sukar seperti konflik perang saudara pada tahun 1977 sehingga 1992 dan kontroversi pakej pembungkusan dengan Bank Dunia.
Kini pihak kerajaan mencari pelbagai alternatif untuk membantu mempertingkatkan lagi nutrien kacang tersebut untuk memulihkan zaman kegemilangannya pada masa lalu.
Di Nampula, di kawasan utara negara itu, kacang gajus tumbuh dengan begitu subur dan beberapa buah kilang pemprosesan semakin aktif melakukan aktiviti penuaian dan pembersihan kacang-kacang tersebut.
Kelihatan berpuluh-puluh pekerja buruh sedang duduk di bawah bumbung dan melindungi diri mereka daripada panas yang terik, sambil memisahkan kacang gajus dari kulitnya dan meletakkannya dalam satu bakul. Condor Nuts, di mana mereka bekerja merupakan syarikat perniagaan kacang gajus yang telah ditubuhkan oleh pihak kerajaan di kawasan pinggir Nampula di kawasan tengah negara itu sejak 10 tahun yang lalu.


Ketua perniagaan itu, Americo Matos berkata bahawa dia baharu saja bermula untuk meningkatkan pengeluaran kacang itu. “Pada masa ini, kami hanya mampu memproses sekitar 8,000 tan kacang gajus setiap tahun.
“Matlamat kami adalah untuk membesarkan lagi perusahaan dan pengeluaran sehingga 10,000 tan setahun dan kemudian membuka kilang kedua kami nanti, apa yang pasti, kami cuba untuk menetapkan kapasiti pengeluaran sehingga 20,000 tan setahun,” tambah Americo lagi kepada AFP.
Manakala di kawasan kilang, setiap kotak dipenuhi dengan kacang gajus dan ratusan pekerja bekerja keras memotong dan membuka serta mengupas kacang-kacang tersebut secara manual. Setiap pekerja akan bekerja selama lima atau enam jam sehari dan dibayar sebanyak 45 euro (AS$55) sebulan, tidak lebih daripada gaji minimum.
“Permintaan sangat tinggi namun kami berjaya menjual segala yang kami hasilkan, kelihatan masa depan perusahaan ini akan lebih cerah dan maju,” tambah Americo lagi.
Permintaan tinggi kacang gajus di Eropah
Selain itu, beberapa pengusaha yang lain seperti Armendo Joaquim Balanca turut menerima kesan positif dalam pengeluaran kacang tersebut di mana perusahaan miliknya mempunyai sekitar 140 pokok dan berjaya menghasilkan dua tan kacang itu pada tahun lalu. “Catatan itu membawa sekitar keuntungan AS$2,288. Kemudian saya melabur separuh dan menggunakan selebihnya untuk membayar kos perubatan dan yuran sekolah anak-anak saya,” tambah Armendo. Kini, Armendo merancang untuk menanam sekitar 500 pokok kacang itu lagi.
Sejak tahun 2010, permintaan terhadap kacang gajus telah melonjak tinggi di benua Eropah, di mana kacang ini telah mendapat tempat di hati penduduk disebabkan manfaatnya dalam kesihatan.
Hampir tiga juta tan kacang tersebut dituai di seluruh dunia setiap tahun di mana Ivory Coast merupakan pengeluar tahunan terbanyak di dunia iaitu sekitar 725,000 tan diikuti dengan India dan Vietnam.
Mozimbique agak sedikit ketinggalan berbanding negara-negara tersebut di mana pengeluaran kasar negara itu sebanyak 140,000 tan setiap tahun namun masih berharap akan dapat mengatasi negara pengeluar terbesar.
“Produktiviti pokok kacang itu semakin meningkat dan rancangan kami pada masa depan adalah untuk mencapai pengeluaran sehingga 200,000 tan kacang setahun,” kata Perdana Menteri, Carlos Agostinho do Rosario kepada media.

Apa yang pasti, sasaran pengeluaran itu telah berjaya dicapai sekitar tahun 1970an di mana zaman kegemilangan kacang gajus di negara tersebut namun disebabkan oleh konflik perang saudara dan sebagainya menjadikan sektor itu merosot dengan mendadak.
Apabila keamanan telah berjaya diraih, Bank Dunia telah mengenakan strategi pemulihan ekonomi yang mana sedikit sebanyak menggoncang lagi sektor itu.
Para pakar memaksa pihak kerajaan untuk menamatkan cukai yang telah membiayai pembangunan industri itu dan berasa yakin bahawa eksport kacang mentah itu akan lebih menguntungkan bagi pengusaha-pengusaha kacang tersebut.
Satu peluang yang baik
Kesan konflik yang meletus di negara itu begitu dahsyat, dianggarkan sekitar 10,000 pekerja kilang telah kehilangan pekerjaan malah para petani juga menerima kesan yang menyedihkan.
“Matlamat Bank Dunia adalah untuk memastikan harga kacang itu berada dalam tahap yang cukup tinggi dan konsisten. Agak sedikit sukar untuk melaksanakan projek itu namun kami sentiasa berusaha untuk menyokong dan mendukung industri ini,” kata ketua pejabat Bank Dunia Mozambique,” Mark Lundell.
Kini, kacang gajus merupakan salah satu tanaman yang memacu pertumbuhan dalam sektor pertanian di negara itu. Hampir separuh daripada produk mentah diproses secara tradisional. “Tanpa industri tempatan, pengeluar tidak akan dapat mengeluarkan produk-produk mereka,” kata Pengerusi Promosi Industri Kacang Kerajaan, Jamie Chissico.
“Kami telah memproses lebih jauh ke hadapan berbanding pesaing-pesaing kami yang lain di benua Afrika. Disebabkan oleh permintaan, pembelian dan sebagainya terhadap produk, kami seperti sudah berada dalam kedudukan yang baik,” tambah Jamie.
Sementara persaingan sengit dengan India dan Vietnam, Mozambique juga mampu menarik lebih banyak pelabur-pelabur antarabangsa.
Jan Le Grange, pemilik tanah di Afrika Selatan, seluas 1,300 hektar dan terletak berdekatan dengan Namialo di Timur Nampula, pada awalnya menanam soya namun berikutan keadaan musim hujan yang berlebihan memaksa dirinya untuk memikirkan semula perancangannya itu.
“Saya memutuskan untuk menanam pokok-pokok gajus,” katanya lagi sambil menambah bahawa permintaan global terhadap produk kacang tersebut stabil dan harga yang sentiasa konsisten.
Le Grange baharu sahaja menanam sekitar 30,000 pokok kacang gajus dan berharap akan dapat menggandakan lagi sumber pendapatannya. “Ini adalah satu peluang yang baik dan saya sangat optimis mengenainya,” tambahnya. – AFP