Wednesday, November 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    MPABD anjur Minggu Maritim Brunei Darussalam 2024

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD), dengan sokongan pemain industri maritim tempatan dan pihak berkepentingan, buat julung kalinya mengadakan Minggu Maritim Brunei Darussalam 2024 (BDMW) di Dewan Bankuet, Bridex, Jerudong, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan majlis perasmian BDMW 2024 itu ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, yang juga selaku Pengerusi MPABD.

    Acara bertemakan Inovasi Teknologi dan Pembangunan Maritim Mampan, yang berlangsung sehingga 21 November itu sejajar dengan tema Hari Maritim Sedunia tahun ini, Menavigasi Masa Depan: Keselamatan Diutamakan. Ia menonjolkan dedikasi MPABD untuk memajukan kemampanan, memupuk inovasi dan memastikan keselamatan dalam sektor maritim Brunei.

    Dalam ucapan perasmian, Ketua Eksekutif MPABD, Kapten (B) Zil Husam bin Haji Abdul Rahman, antaranya menekankan kepentingan BDMW sebagai satu peristiwa penting dalam pembangunan maritim negara. Beliau turut menekankan BDMW dibayangkan untuk menjadi penanda aras bagi sektor maritim, menjadikannya sebagai platform tahunan untuk memupuk penglibatan tempatan dan antarabangsa.

    Kapten (B) Zil Husam seterusnya menekankan objektif yang lebih luas bagi acara itu untuk mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai pemain terkemuka dalam industri maritim global. Beliau menyatakan bahawa BDMW bertujuan untuk bukan sahaja mempamerkan keupayaan maritim negara tetapi juga untuk meletakkan Brunei sebagai hab terkemuka untuk inovasi, kerjasama dan kecemerlangan dalam sektor itu.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa mengadakan lawatan ke tempat pameran pada majlis itu. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Semasa pelancaran rasmi BDMW 2024, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary telah mengumumkan penubuhan Pusat Tindak Balas Kecemasan Maritim (MERC), yang dilengkapi dengan teknologi canggih dan dikendalikan oleh pasukan terlatih yang bersedia untuk menghadapi sebarang kecemasan di laut. MERC bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dan meningkatkan kecekapan tindak balas dalam operasi maritim Brunei. Selain itu, satu lagi kejayaan ialah pelancaran projek Maritime Single Window, yang sejajar dengan agenda transformasi digital Brunei.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi turut menyaksikan demonstrasi secara langsung Latihan Penyemburan Laut NOSCOP yang dijalankan oleh Oil Spill Response Limited (OSRL) Singapura, yang mempamerkan kesiapsiagaan Brunei dalam menangani kecemasan maritim.

    Acara itu turut menampilkan pameran oleh 35 pempamer, yang turut dilawati oleh Yang Berhormat Pengiran Dato bagi sama-sama menyaksikan perkembangan dan inovasi terkini dalam industri maritim.

    Pada sebelah petang, sesi dialog juga diadakan mengenai topik seperti New Technology in Vessel Traffic Services: Challenges & Opportunities; Empowering Maritime Careers: Navigating Opportunities and Challenges in Maritime Employment; dan Sail Safe: Medical and Safety Training for Seafarers.

    Sesi tersebut menampilkan barisan 10 penceramah yang pelbagai, termasuk pakar tempatan dan antarabangsa antaranya Pegawai Teknikal IALA dan Pakar VTS daripada Organisasi Antarabangsa Bantuan Marin untuk Navigasi (IALA), Thomas Southall; Pengarah Pengurusan Trafik Kapal dan Bahagian Bantuan Ke Navigasi dari Jabatan Laut Malaysia, Mohd Hafiz bin Abdul Majid; Ketua Penolong Pengarah Kanan Pengurusan Trafik Kapal dan Bahagian Bantuan Ke Navigasi dari Jabatan Laut Malaysia, Burhanudin bin Abdullah; dan Presiden Ikhtisas Kelautan Malaysia (IKMAL), Kapten Abdul Aziz Abdullah.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi sesi petang itu ialah Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar.

    Pada hari kedua, BDMW akan memberi tumpuan kepada peluang kerjaya, diketuai oleh Pusat Pekerjaan Brunei, yang merangkumi penulisan CV dan klinik temu duga. Pada sesi petang, terdapat aktiviti tambahan yang diterajui peserta pameran, seperti pembentangan, anugerah penghargaan, penglibatan bakat dengan orang ramai, dan paparan teknologi maritim.

    Hari ketiga pula akan menampilkan Maritime Quest Interactive Challenge, acara menarik berkonsepkan pendidikan yang memperkenalkan peserta kepada industri maritim dan peluang kerjaya. Aktiviti itu akan melibatkan pasukan daripada pihak berkepentingan industri, pencari kerja dan orang ramai, mempromosikan kerja berpasukan dan kesedaran industri. Pada sebelah petang, akan diadakan penyampaian hadiah untuk para pemenang cabaran tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda