KUCHING, 31 Okt – Lembaga Lada Malaysia (MPB) sedang memperkenalkan sistem e-pekebun bagi memastikan tidak ada lagi kebocoran berkaitan pengagihan subsidi kepada pekebun kecil di seluruh negara.
Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata inisiatif itu adalah susulan daripada teguran ketua audit negara agar diperbaiki sistem kelola perusahaan MPB.
“Inisiatif ini penting untuk memastikan kumpulan tersasar yang memerlukan subsidi dapat diberi bantuan dan menjadi impian kami sistem perusahaan ini dapat membantu dalam membangunkan lagi industri lada,” katanya selepas melawat tapak projek Pusat Pembangunan dan Pengembangaan Industri Lada Negara (PILN) di Semenggok sempena lawatan sulungnya ke MPB di sini.
Kerajaan pusat memperuntukkan 3,000 hingga 4,000 subsidi untuk pekebun kecil setiap tahun, katanya. Mengenai PILN di Semenggok, beliau berkata projek bernilai RM83 juta itu yang dijangka siap Februari 2020 akan menjadi pusat rujukan kepada penggiat industri lada serta merancakkan lagi pembangunan industri lada negara.
Sehingga kini, keluasan tanaman lada di Malaysia dijangka mencapai 17,437 hektar dengan anggaran hasil pengeluaran 31,000 tan metrik untuk tahun ini berbanding keluasan 17,087 hektar pada 2017 dengan pengeluaran 30,433 tan metrik.
Sejak kebelakangan ini, terdapat rungutan daripada para pengusaha industri berkenaan mengenai kemerosotan harga komoditi, serangan penyakit dan perosak ke atas tanaman serta kenaikan kos input pertanian, katanya.
Shamsul Iskandar berkata, oleh sebab itu, pengusaha tanaman komoditi disaran melaksanakan amalan pertanian baik bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti lada. – Bernama
