Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Muara Port Company Sdn Bhd (MPC) mencatatkan satu lagi mercu tanda penting apabila menandakan permulaan kerja-kerja awal bagi Projek Pengembangan Pelabuhan Muara dengan mengadakan Majlis Doa Selamat bagi Pra-Permulaan Projek Pengembangan Pelabuhan Muara di tapak projek di Muara, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi MPC.
Turut hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof selaku pengerusi Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP); Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong dan Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin.
Hadir sama ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan dan sektor swasta, pihak-pihak berkepentingan MPC, pengurusan dan kakitangan MPC.
Dalam kata alu-aluannya, Ketua Pegawai Operasi MPC, Awang Mohd Fazilah bin Haji Mohd Yassin menyatakan pelabuhan memainkan peranan yang kritikal dan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan serta pembangunan industri dan ekonomi negara.

Dalam hubungan itu, beliau berkata MPC berusaha untuk memudahkan perniagaan dalam menjana nilai serta turut berusaha untuk memperbaiki prestasi operasi dan perkhidmatan selaras dengan standard taraf dunia.
Beliau turut mendedahkan pada Julai 2020, MPC bersama-sama dengan sebuah pasukan pakar antarabangsa telah memulakan satu kajian bagi membangunkan Pelan Induk Pelabuhan Muara yang pada masa ini, dalam peringkat akhir untuk disiapkan.
Pelan induk berkenaan nanti akan menyediakan pelan komprehensif yang akan memandu MPC dalam mengembangkan operasinya dalam jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menjadi sebuah hab antarabangsa.
Ke arah itu, MPC perlu untuk mengembangkan pelabuhannya dan terus responsif kepada permintaan serta peluang-peluang pasaran. Dalam pelan induk itu, salah satu strategi pembangunan yang dinyatakan ialah Pengembangan Terminal Kontena Muara sebanyak 275 meter yang akan menjadikan jumlah panjang dermaga keseluruhan kepada 525 meter.
Ia akan dalam memuatkan dua buah kapal dan meningkatkan kapasiti terminal daripada 220,000 TEUs setahun kepada 500,000 TEUs.
Majlis diteruskan dengan pendedahan ilustrasi artistik Terminal Kargo Pelabuhan Muara masa hadapan yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib serta diikuti dengan bacaan Doa Selamat.
Projek Pengembangan Pelabuhan Muara itu adalah sebagai sebahagian daripada komitmen MPC untuk merealisasikan visi syarikat menjadi sebuah hab antarabangsa bertaraf dunia yang akan memudahkan pertumbuhan industri pembuatan dan logistik Brunei dalam menyumbang kepada Wawasan Brunei 2035.
Dalam masa terdekat, kerja reka bentuk dan kajian kebolehlaksanaan akan dikendalikan untuk memulakan Projek Pengembangan Pelabuhan Muara dengan matlamat untuk menambahkan kapasiti sebanyak 280,000 TEUs setahun dan meningkat kepada 500,000 TEUs setahun keseluruhannya menjelang 2023.
Majlis itu turut menekankan hubungan kukuh yang sekian lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China dan hubungan diplomatik di antara kedua-dua buah negara yang akan mencapai satu mercu tanda penting iaitu ulang tahun ke-30 penubuhannya pada September nanti.