Saturday, November 30, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    MPC catat pencapaian penting

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC) mencipta sejarah dalam negara apabila merasmikan laluan perkapalan kontena langsung pertama dari Pelabuhan Muara ke Pelabuhan Teluk Beibu, China, kelmarin.

    Pelayaran sulung kapal itu menandakan pintu masuk ekonomi baharu yang jelas akan mengukuhkan lagi hubungan antara Negara Brunei Darussalam dan China.

    Pengenalan laluan perkapalan baharu tersebut akan menyumbang manfaat ekonomi yang bermakna bagi kedua-dua negara yang selaras dengan aspirasi inisiatif Koridor
    Ekonomi Brunei-Guangxi.

    Hadir dan menyempurnakan perasmian di Pelabuhan Muara ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi MPC; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

    Hadir sama pada majlis penuh bersejarah itu ialah Naib Gabenor Eksekutif Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Puan Yang Terutama Cai Lixin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Rakyat Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Lu Xinhua; Timbalan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pembangunan dan Reformasi Guangxi, Nong Bing; Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Guangxi, Wei Yu; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo; dan Pengerusi Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co Ltd, Li Yanqiang serta pegawai-pegawai kerajaan, Brunei Belt & Road Association, dewan-dewan perniagaan, institusi-institusi kewangan, pihak berkepentingan MPC, pengurusan dan kakitangan.

    Menteri-menteri kabinet bersama jemputan khas merasmikan pelayaran kontena pertama dari Pelabuhan Muara ke Pelabuhan Beibu Gulf, di MPC, Muara. – Gambar oleh Rafi Rosli
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan PYT Cai Lixin merasmikan pelancaran Galeri Pencapaian Pelabuhan Muara. – Gambar oleh Rafi Rosli
    Gambar ramai para jemputan khas di Galeri Pencapaian di MPC. – Gambar oleh Rafi Rosli

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dalam ucapannya antara lain mengongsikan bahawa MPC komited untuk meningkatkan lagi ketersambungan kepada dunia dengan mempromosikan laluan kapal kontena baharu dari Pelabuhan Muara ke Pelabuhan Teluk Beibu.

    Ini, jelasnya, akan melengkapkan visi jangka panjang MPC untuk berfungsi sebagai hab di rantau ini dengan mempromosikan pertukaran pengetahuan dengan rakan kongsi dari China dalam perspektif kepakaran industri serta kemajuan teknologi.

    “Wilayah BIMP-EAGA merangkumi kawasan seluas 1.6 juta kilometer persegi dan merupakan rumah kepada populasi 57.5 juta orang. Sebagai nod untuk BIMP-EAGA, Pelabuhan Muara mampu memudahkan perdagangan antara wilayah ini dan barat China melalui Koridor Perdagangan Laut Darat Antarabangsa.

    “Ketika kita menyaksikan pelayaran kapal pertama dari Pelabuhan Muara ke Pelabuhan Qinzhou hari ini, kita berdiri dan menjadi saksi kepada potensi peningkatan perdagangan, pertumbuhan dan ketersambungan. Ini adalah penting kepada pembangunan ekonomi Brunei dan wilayah BIMP-EAGA kerana ia akan memudahkan import dan eksport serta membuka pasaran baharu,” tambah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew yang turut mengongsikan pencapaian-pencapaian MPC sejak penubuhannya pada 2017.

    Pelayaran kontena pertama, yang bermula pada 27 April 2023, berlepas dari Muara ke Hong Kong dan ke Qinzhou sebelum kembali ke Muara melalui Bintulu.

    Pada mulanya perkhidmatan dilakukan sekali setiap bulan, persinggahan perkhidmatan akan dipergiatkan kepada dua kali sebulan dengan peningkatan dalam volum dan
    permintaan.

    Penghantaran dari Brunei ke Pelabuhan Qinzhou termasuk hirisan udang, tembikai kasturi, makanan laut yang diproses dari Kompleks Pendaratan Ikan serta kargo dari Hengyi
    Industries Sdn Bhd.

    Dengan setiap pelayaran mengambil masa enam hari, penyediaan perkhidmatan itu dibayangkan untuk menarik perhatian kargo ke China yang dihantar dari wilayah BIMP-EAGA ke Brunei.

    Sejurus merasmikan pelayaran kontena sulung tersebut, Yang Berhormat Dato Seri
    Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan PYT Cai Lixin kemudiannya dijemput ke Pusat Kapal Pesiar untuk merasmikan pelancaran Galeri Pencapaian Pelabuhan Muara.

    Galeri berkenaan mempamerkan pembangunan Pelabuhan Muara dari 1970 hingga kini dengan tumpuan utama pada pencapaian dan pembangunan seperti daya pengeluaran pelabuhan, pendapatan operasi, dan penciptaan pekerjaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda