Sunday, April 13, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    MPC mampu jadi hab antarabangsa bertaraf dunia

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Sejak penubuhan Muara Port Company (MPC) pada 2017 iaitu sebuah syarikat usaha sama di antara Darussalam Assets Sdn Bhd dan Beibu Gulf Holding (Hong Kong) Co. Ltd, yang dihasratkan untuk menjadi salah sebuah enjin pertumbuhan bagi ekonomi negara, MPC telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada usaha mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam dengan memanfaatkan keupayaan serta sinergi kedua-dua pemegang sahamnya.

    Hari ini, MPC telah memudahkan pergerakan jumlah kontena kira-kira 440,000 TEUs dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini dengan purata tahunan sebanyak kira-kira 110,000 TEUs.

    Jumlah itu dapat dicapai menerusi keupayaan teknikal dan peningkatan kecekapan yang diperkenalkan oleh MPC yang disokong dengan tenaga manusia yang berkualiti dan dipercayai seramai 182 orang.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi MPC dalam ucapannya pada Majlis Doa Selamat bagi Pra-Permulaan Projek Pengembangan Pelabuhan Muara, di tapak projek di Muara, hari ini.

    Yang Berhormat Dato berkata lagi bahawa selain daripada operasi pelabuhan, MPC telah mempelbagaikan perniagaan, mengembangkan operasinya kepada logistik darat, penyimpanan barang khas dan pengurusan Kompleks Pendaratan Ikan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

    Peluang-peluang yang dilaksanakan itu, ulasnya lagi, adalah selaras dengan kepercayaan bahawa pelabuhan memainkan peranan pemangkin dan kritikal dalam pertumbuhan peluang-peluang perniagaan serta pembangunan ekonomi yang berjaya.

    Beliau yakin bahawa MPC adalah selaras dengan kenyataan itu, di mana syarikat berkenaan sentiasa dibayangkan menjadi sebuah hab antarabangsa bertaraf dunia yang akan memudahkan pertumbuhan industri pembuatan dan logistik Brunei.

    Pada masa yang sama, pembangunan itu telah mentransformasikan Pelabuhan Muara kepada sebuah pelabuhan yang boleh dipercayai, cekap dan berpusatkan perniagaan dengan MPC terus berusaha untuk menyokong ekosistem industri dan menangkap peluang-peluang dalam pelbagai industri lain.

    Mengulas mengenai pra-permulaan Projek Pengembangan Pelabuhan Muara, Yang Berhormat Dato berkata bahawa MPC mengambil satu lagi langkah ke hadapan yang penting ke arah merealisasikan visinya dan menyumbang kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035.

    Ia bukan sahaja amat bermakna kepada ekonomi tetapi ia juga menandakan langkah baru dalam hubungan sekian lama di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda