MPEC sasar kurangkan kadar pengangguran

Oleh Sim Y. H. & Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Isu pengangguran dan pembangunan sumber manusia merupakan cabaran yang terus dihadapi oleh negara-negara seluruh dunia begitu juga negara ini.

Seperti yang dapat disaksikan pada 2020, isu-isu berkenaan menjadi lebih teruk ketika perlu berhadapan dengan cabaran-cabaran baharu yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

Dalam hubungan itu, ia menyeru kita untuk lebih inovatif dalam usaha menangani pengangguran dan membangunkan sumber manusia serta sektor industri juga perlu untuk bertindak terhadap perubahan berkenaan dengan efektif dan tepat pada masanya.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar bawah) ketika berucap pada Hari Penglibatan Pasaran bagi Organisasi Latihan, hari ini.

Menurutnya, pembangunan tenaga kerja untuk memenuhi permintaan industri merupakan kunci pembangunan ekonomi kerana ia akan memastikan penduduk negara dibekalkan dengan kemahiran yang diperlukan untuk terus relevan dalam ekonomi masa kini dan masa hadapan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew pada majlis Hari Penglibatan Pasaran bagi Organisasi Latihan di Bangunan JPM. Turut hadir Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw dan Pengurus ICV, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Hajah Rosita binti Hassan selaku pengerusi MISC Energy.

Sektor tenaga yang merupakan sektor paling maju negara di mana terdapat pengalaman praktikal yang mencukupi dan akan terus menjadi sektor strategik pada masa hadapan, adalah salah satu sektor utama di mana tumpuan diberikan untuk membangunkan keupayaan anak tempatan, jelas Yang Berhormat Dato selaku pengerusi Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC) pada majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan JPM.

Beliau menyatakan bahawa Kajian Tenaga Kerja 2019 yang dikendalikan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 6.8 peratus di mana terdapat seramai 16,234 orang yang menganggur.

Walaupun kadar itu menunjukkan lebih baik jika dibandingkan dengan dapatan kajian pada 2018, Brunei terus berusaha untuk memastikan pengurangan pengangguran menerusi penubuhan MPEC pada 2019.

Beliau menerangkan MPEC mempunyai visi untuk memastikan perancangan sumber manusia yang efektif dengan penjajaran kebolehkerjaan dan pekerjaan dengan tumpuan pekerjaan berfaedah dan berterusan ke arah menangani pengangguran di negara ini.

Salah satu inisiatif di bawah MPEC, ialah penubuhan Jawatankuasa Pandu Industri Tenaga Manusia (MISC) di mana ia bertindak sebagai platform bagi kerjasama antara pemain industri, pengawal selia dan institusi latihan ke arah perancangan sumber manusia sektoral yang efektif serta pembangunan rangka kerja kompetensi dan program untuk mempersiapkan anak tempatan bagi memenuhi keperluan industri serta merebut peluang-peluang pekerjaan yang ada.

Dalam hubungan itu, ulas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, institusi latihan memainkan peranan yang penting dalam memastikan pembelajaran berkualiti tinggi dengan memberikan program latihan relevan sesuai dengan standard dan rakan kerja kompetensi yang ditetapkan.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dan bersepadu ke arah mengurangkan pengangguran serta memastikan perancangan sumber manusia efektif, MPEC telah melaksanakan beberapa inisiatif dan lebih banyak lagi dalam perancangan.

JobCentre Brunei merupakan pemboleh yang kritikal dalam ekosistem sumber manusia di mana ia berperanan menghubungkan pencari kerja tempatan dengan peluang pekerjaan di sektor swasta serta juga merupakan pusat penyediaan perkhidmatan pengambilan pekerja tempatan bagi syarikat-syarikat.

Pada 2020, menerusi JobCentre Brunei, Program Perantisan iReady telah dilanjutkan kepada peringkat diploma tertinggi kebangsaan (HND) dan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dengan objektif untuk meningkatkan kebolehkerjaan dan kebolehpasaran anak tempatan menerusi pendedahan suasana kerja dan latihan sambil bekerja.

Ke arah memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dan membangunkan tenaga kerja tangkas, MPEC dengan kerjasama Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat di bawah Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan Program SkillsPlus yang menyediakan bantuan pembiayaan kepada pencari kerja dan pekerja tempatan di sektor swasta untuk mengambil program-program pembelajaran bagi meningkatkan kemahiran mereka selaras dengan keperluan ekonomi.

Selain itu, MPEC juga mengkaji semula dasar-dasar sumber manusia utama dan proses ke arah mengukuhkan penyetempatan menerusi kolaborasi dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan pelbagai pengawal selia yang lain.

Dalam berbuat demikian, MPEC telah melaksanakan pertemuan pihak-pihak yang berkepentingan termasuk kementerian-kementerian, industri dan pencari kerja di peringkat akar umbi.

Salah satu dapatan daripada pertemuan itu adalah Kaji Selidik Pencari Kerja yang bermatlamat untuk memahami perangai pencari kerja, keutamaan dan cabaran dalam usaha pencarian kerja mereka.

Di samping itu, bagi memastikan keterangkuman dan kepelbagaian inisiatif-inisiatif sumber manusia, MPEC juga bekerja rapat dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ke arah membangunkan kebolehpasaran kumpulan-kumpulan terdedah termasuk mereka yang mempunyai kelainan upaya (PwDA).