Tuesday, February 25, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    MPK Belimbing adakan Majlis Doa Arwah Sekampung

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Belimbing, telah mengadakan Majlis Doa Arwah Sekampung dan Penyampaian Derma Anak-anak Yatim bagi tahun 2025 yang diadakan di Masjid Kampung Belimbing, Subok, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Semasa majlis itu, bacaan tahlil dan Doa Arwah diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Ketua Pemantau Zon 4, Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Haji Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar.

    Terdahulu itu, majlis penyampaian sumbangan derma anak-anak yatim kepada tujuh orang anak yatim telah disampaikan oleh tetamu kehormat.

    Sumbangan tersebut adalah sebagai usaha kecil penduduk kampung untuk membantu golongan yang memerlukan.

    Majlis ini dianjurkan sebagai tanda penghormatan kepada ahli keluarga dan warga kampung yang telah pergi serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim di kalangan komuniti.

    Turut hadir di majlis itu, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, yang juga Ketua Kampung Belimbing, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan, selaku pengerusi majlis; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, juga selaku Pemangku Penghulu Mukim Kianggeh dan Ketua Kampung Subok, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat; dan Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram serta penduduk kampung yang lain.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim di kampung berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara yang hadir pada majlis Majlis Doa Arwah Sekampung dan Penyampaian Derma Anak-anak Yatim bagi tahun 2025 di Masjid Kampung Belimbing, kelmarin. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda