Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan Biro Wanita Kawasan 2 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri buat julung-julung kalinya mengungkayahkan Kembara Ramadan sempena Bulan Ramadan 1445M/2024H.
Hadir menyampaikan sumbangan kepada enam orang warga emas dan orang yang kurang berkemampuan terpilih semasa kembara tersebut ialah Pemangku Ketua Kampung Kawasan 2 RPN Kampung Mentiri, Haji Mohammad Nizam bin Haji Julaihi.
Dalam ucapannya, beliau menyeru semua ahli jawatankuasa kampung dan penduduk kampung agar sama-sama membantu mereka yang memerlukan.
Dalam bulan Ramadan Al-Mubarak yang penuh berkah inilah waktunya kita sama-sama meraih pahala menyumbangkan sedekah kepada mereka yang memerlukan, sebagai rasa kasih kepada mereka yang kurang berkemampuan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan Lebaran yang akan menjelang, tambahnya.
Majlis Kembara Ramadan bermula di rumah pemangku ketua kampung dan beredar ke rumah-rumah penduduk kampung yang terpilih.
Ia diadakan bagi menyuntik semangat ahli-ahli jawatankuasa dan penduduk kampung di samping menyemai rasa cinta kepada amalan bersedekah.


