Monday, March 31, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    MPK Jerudong prihatin, hulur bantuan Ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Kebajikan dan kesejahteraan anak-anak yatim serta golongan kurang berkemampuan di negara ini terus diberi perhatian melalui pelbagai inisiatif kebajikan.

    Sehubungan itu, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Jerudong B, MPK Jerudong A, Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam bersama Persatuan Warisan Kedayan Jerudong (WARISAN), dengan kerjasama Pengarah Urusan Bellaziz Holding Ltd, Restoran Tumpi Sabar Menanti, Supermarket Mollah Sdn Bhd, Layar Empire serta individu perseorangan telah mengadakan majlis penyampaian sumbangan derma kepada 54 anak yatim dan 20 individu kurang berkemampuan yang tinggal di Kampung Jerudong.

    Sumbangan berupa barangan keperluan asas disampaikan dalam majlis yang diselajurkan dengan Majlis Makan Malam Tujuh Sekampung (bersungkai) bertempat di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam. Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim.

    Manakala penyampaian barangan keperluan asas kepada 20 penerima kurang berkemampuan disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed.

    Sebagai simbolik sumbangan, Pengerusi MPK Jerudong B turut menyerahkan replika cek berjumlah $1,000 kepada tetamu kehormat untuk disalurkan ke Tabung Anak Yatim Jabatan Daerah Brunei dan Muara. Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Tahlil, Doa Arwah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Haji Muhd Amaluddin bin Haji Jamaluddin.

    Majlis tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan MPK Jerudong B yang bertujuan memberikan keceriaan kepada anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan, selain membantu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

    Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim. Pengerusi MPK Jerudong B menyerahkan derma anak yatim kepada Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Pengerusi MPK Jerudong B menyerahkan derma anak yatim kepada Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Senyuman terukir di wajah para penerima sumbangan yang tinggal di Kampung Jerudong pada majlis penyampaian sumbangan dan Majlis Makan Malam Tujuh Sekampung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda