Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 16 MAC – Sebanyak 350 pek makanan dan kuih masakan sendiri telah diedarkan sebagai sebahagian daripada Ramadan Food Drive anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) PN Panaga A, di Jalan Likap, Kampung PN Panaga, baru-baru ini.
Inisiatif itu telah diketuai oleh Ketua PN Panaga A, Awang Muhammad Nurzairie bin Abdullah Peter. Beliau diiringi Pemangku Ketua PN Panaga B, Awang Mohd Ariffin bin Abdullah serta ahli dan sukarelawan MPK PN Panaga.
Awang Muhammad Nurzairie menjelaskan kepada media bahawa food drive itu diadakan sebagai inisiatif kampung untuk berbakti kepada masyarakat sepanjang bulan Ramadan.
“Banyak juadah dan kuih yang diedarkan semasa Ramadan Food Drive ini telah dimasak, disediakan dan dibungkus sendiri oleh penduduk dan sukarelawan dari seluruh kampung. Kami ingin membantu memeriahkan lagi bulan Ramadan yang mulia ini, dan cara yang lebih baik untuk menyambutnya adalah berbuka puasa dengan hidangan yang dimasak sendiri.”
Selain itu, beliau menambah MPK komited untuk memberi sokongan kepada masyarakat sekitar di samping menganjurkan lebih banyak acara tidak lama lagi terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.