Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Putat, kelmarin, telah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung ke-30 yang dikhususkan bagi penduduk kampung tersebut yang telah kembali ke rahmatullah.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin selaku Penghulu Mukim Lumapas, dan Yang Berhormat Awang Ali bin Tanjong selaku Ketua Kampung Lumapas B.
Ahli MMN yang juga Ketua Kampung Putat, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed selaku pengerusi majlis dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan bahawa acara tersebut lazimnya dibuat bersempena menyambut kehadiran bulan Ramadan.
Ia telah didahului dengan majlis bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan yang ada di kampung tersebut iaitu Kubur Baong, Kubur Paluk dan Kubur Kupang.

Mengimbau kembali asal majlis tahlil dan Doa Arwah sekampung itu pada 1993, Yang Berhormat Awang Zainol mengongsikan bahawa kira-kira 30 tahun lepas ia diadakan bersempena bermulanya penubuhan MPK tersebut.
Terdahulu, acara dimulakan dengan ceramah agama yang disampaikan oleh Awang Abdul Hadi bin Haji Hamid.
Kemudian, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil akuan Tamat Kelas Al-Quran dan Muqaddam 2022, dan sumbangan derma kepada anak yatim dan cenderahati kepada penceramah undangan oleh tetamu kehormat.
Bacaan Yasin dan tahlil kemudiannya dipimpin oleh Bilal Afendi bin Haji Taha bersama guru dan murid Kelas Al-Quran dan Muqaddam.
Doa Selamat seterusnya dibacakan oleh Ketua Imam Masjid Kampung Putat, Awang Sh’minan bin Haji Sulaiman.