Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Memupuk budaya sifat saling bantu membantu sesama saudara Islam yang melahirkan sifat pemedulian dan kasih sayang antara satu sama memang menjadi budaya yang sangat positif di negara ini.
Sementara itu, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kawasan II Kampung Mentiri dan Biro Wanita MPK, hari ini, telah menyampaikan sumbangan derma kepada dua buah keluarga ahli MPK berkenaan, yang berlangsung di salah sebuah Kampung Sungai Hanching.
Sumbangan derma berkenaan telah disampaikan oleh Pemangku Ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara Kawasan II Kampung Mentiri, Awang Haji Nizam bin Julaihi.

Pemangku Ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara Kawasan II Kampung Mentiri Awang Haji Nizam menjelaskan, sumbangan berkenaan merupakan salah satu aktiviti Biro Keagamaan MPK sebagai rasa prihatin kepada ahli-ahli MPK dan penduduk kampung berkenaan dalam sama-sama membantu meringankan beban mereka yang dilanda dukacita.
Terdahulu dari itu, majlis dimulakan dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh Ketua Biro Keagamaan MPK RPN II Kampung Mentiri,Awang Abdul Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd. Tamin.
Dengan adanya sumbangan ini, ia bukan sahaja meningkatkan keharmonian masyarakat malah dari sudut ugama, amalan menghulur sedekah sangat disanjung dan dijanjikan pahala yang berlipat ganda malah sebagai bekalan amalan di akhirat kelak.


