Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Kampung Mentiri Kawasan 1 dan 2 dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah Mentiri telah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung dan Penyampaian Derma kepada Anak Yatim, yang berlangsung di masjid berkenaan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Haji Mislee bin Haji Karim.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri dan Ketua Kampung RPN Kampung Mentiri Kawasan 1, Pengiran Haji Aliuddin bin Pengiran Haji Damit.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah diikuti dengan ucapan daripada Ketua Kampung RPN Kampung Mentiri Kawasan 1 dan 2.
Dalam ucapannya, Pengiran Haji Aliuddin berkata bahawa dengan adanya majlis berkenaan dapat mengeratkan lagi tali silaturahim dalam kalangan masyarakat kampung berkenaan dan sekitarnya selain merapatkan hubungan di antara ahli-ahli MPK RPN Kampung Mentiri Kawasan 1 dan 2 dengan ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah Mentiri yang sering kali menganjurkan kegiatan bersama-sama di kampung berkenaan.

Menyentuh mengenai sumbangan untuk anak-anak yatim, beliau berkata, dengan adanya sumbangan berkenaan, akan dapat meringankan beban-beban anak-anak yatim.
“Diharapkan kepada anak yatim dan penjaganya akan dapat menggunakannya dengan sempurna, mudah-mudahan abiskita akan mendapat rahmat daripada Allah S.W.T.,” tambah beliau.
Majlis diteruskan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim yang disempurnakan oleh Pegawai Daerah Brunei Muara.
Selain daripada penyampaian derma kepada anak-anak yatim, majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada ahli-ahli MPK RPN Kampung Mentiri Kawasan 1 sesi 2018 serta penyerahan wakaf berupa van jenazah kepada pihak Masjid Hassanal Bolkiah Mentiri.