Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Sebagai tanda kesyukuran dan taat setia kepada raja serta cintakan Negara Brunei Darussalam, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong ‘B’ telah mengadakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong, hari ini.
Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 150 orang tersebut dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang kemudiannya diikuti dengan bacaan Surah Yasin berserta Doa Kesyukuran beramai-ramai yang diketuai oleh Haji Kamaruzaman bin Haji Jakar.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim yang juga merupakan Penasihat MPK Sengkurong ‘B’.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Penghulu Mukim Sengkurong, Haji Musa bin Haji Tahir, ketua-ketua kampung dan ahli-ahli MPK Sengkurong ‘B’.
Majlis yang diungkayahkan oleh Perkumpulan Wanita MPK Sengkurong ‘B’ itu turut diserikan dengan persembahan tausyeh daripada ahli-ahli Perkumpulan Wanita MPK Sengkurong ‘B’ yang diketuai oleh Hajah Rosnah binti Haji Tamin.

