BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong B melalui inisiatif Jawatankuasa Tertinggi Biro Wanita MPK Sengkurong B berserta ahli-ahlinya telah mengadakan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 bertempat di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong, baru-baru ini.
Majlis dihadiri oleh Pemangku Ketua Kampung Sengkurong B, Awang Abdul Razak bin Haji Ismail dan isteri; Penasihat Biro Wanita MPK Sengkurong B, Datin Hajah Rohanie binti Haji Ahmad; Pengerusi Biro Wanita MPK Sengkurong B, Hajah Rukiah binti Haji Mohd Yasin; Timbalan Pengerusi Biro Wanita MPK Sengkurong B, Hajah Azizah binti Haji Mirasan dan ahli-ahli MPK Sengkurong B serta ahli-ahli Biro Wanita MPK Sengkurong B.
Majlis dimulakan dengan Sayyidul Istighfar, Selawat Tafrijyah, bacaan Surah Al-Fatihah diteruskan dengan bacaan Surah Yasin sempena Hari Kebangsaan dan Doa Kesyukuran Hari Kebangsaan. Majlis turut diselajurkan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah khusus bagi keluarga ahli yang telah kembali ke rahmatullah.
Sambutan tersebut diadakan adalah untuk menyemarakkan dan menanamkan semangat patriotik dan cintakan negara di kalangan ahli MPK Sengkurong B dan juga Biro Wanita MPK Sengkurong B. Selain itu ia juga untuk memupuk semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan ahli MPK Sengkurong B dan Biro Wanita MPK Sengkurong B dalam sama-sama menjayakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-40.
Ia juga untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengadakan majlis keagamaan dan memohon doa semoga Negara Brunei Darussalam sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Allah SWT.