Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Dengan hasrat untuk menyemai semangat bergotong-royong sambil menjaga kebersihan alam sekitar bagi kepentingan bersama, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Subok kelmarin meneruskan lagi pelaksanaan kempen kebersihan bermula dari kawasan Bukit Karamunting hingga Bukit Laur.
Kempen berkenaan dijalankan bagi memudahkan para pendaki melalui laluan tersebut dan juga persiapan bagi membersihkan Tanah Perkuburan Orang Islam Datu Dibumbun yang kebiasaannya dilaksanakan pada bulan Syawal.
Sebelumnya, MPK Subok bersama penduduk Kampung Subok dan sekitarnya telah mengungkayahkan aktiviti pembersihan di kawasan bukit-bukit seperti Bukit Sipatir, Bukit Paning Lalat/Batangkup,Bukit Pintu Ajaib, Bukit Tuah Kumala dan Bukit Naga Melancar yang mana bukit-bukit tersebut sering kali didaki dan dikunjungi oleh orang ramai, terutama setiap hujung minggu dan semasa cuti-cuti sekolah.