Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Bagi menyediakan platform dan wadah untuk pengusaha Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dan peniaga tempatan untuk mempromosi dan menjual produk keluaran mereka, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Bunga, Tanjung Kindana telah mengadakan aktiviti Bazar Jualan, Dine Out-Street Food di Dermaga Diraja kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, yang juga Pemangku Penghulu Mukim Kianggeh dan Ketua Kampung Subok.
Aktiviti yang diadakan ini merupakan salah satu kegiatan perekonomian bagi MPK Sungai Bunga sekali gus melancarkan produk 1K1P terbaharu mereka iaitu Tauhu Basah. Di samping itu, ia juga mendedahkan pengusaha kepada senario alam persaingan perniagaan sebenar bersama-sama dengan peniaga tempatan lain, sekali gus dapat belajar dan menimba ilmu dan pengalaman dalam dunia perniagaan.
Aktiviti itu juga secara tidak langsung dapat menyemai rasa bersama dan bekerjasama dalam kalangan ahli MPK Sg Bunga dalam mengungkayahkan apa juga aktiviti yang dilaksanakan agar dapat dijalankan dengan penuh tanggungjawab.
Inisiatif seumpama ini amat diperlukan oleh peniaga tempatan khususnya belia yang baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan atau sedang mencari pekerjaan, menjadikan ia sebagai platform untuk memulakan dan meraih pendapatan.