Oleh Daniel Lim
BELAIT, 13 MAC – Penduduk yang tinggal di kawasan sekitar Kampung Sungai Teraban dan pelawat yang melintasi kawasan tersebut kelmarin telah menikmati pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan menarik apabila Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Teraban menganjurkan Pesta Sungai Teraban 3 dalam 1.
Pesta Sungai Teraban yang diadakan di luar Dewan Kemasyarakatan Kampung Sungai Teraban adalah sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-39 dan sebagai sebahagian daripada acara tiga dalam satu, dengan aktiviti-aktiviti yang diadakan termasuk kempen kebersihan, festival gerai dan kedai oleh peniaga tempatan dan usahawan, serta pertandingan layang-layang.
Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad hadir bagi menyaksikan aktiviti-aktiviti tersebut yang berlangsung sepanjang pagi, bermula dengan kempen kebersihan yang diadakan dari landasan feri lama ke kawasan berhampiran Sekolah Rendah Sungai Teraban.
Menurut Pemangku Ketua Kampung Sungai Teraban, Awang Zaini bin Haji Kaderi, beliau menjelaskan acara tersebut memberi peluang kepada penduduk kampung dan orang luar untuk meluangkan hari Ahad bersama rakan dan keluarga dengan mengambil bahagian dalam permainan dan aktiviti yang menyeronokkan.
Selain itu, beliau juga menambah bahawa kempen kebersihan yang dijalankan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai supaya sentiasa menjaga kebersihan kampung.
Selepas tamat kempen kebersihan, Pemangku Pegawai Daerah Belait kemudian melawat pelbagai gerai dan kedai yang didirikan oleh para peniaga dan usahawan yang menjual pelbagai produk dan perkhidmatan seperti Satu Kampung Satu Produk (1K1P).
Selain itu, pertandingan layang-layang juga diadakan di padang terbuka yang berdekatan, yang melibatkan sejumlah 64 pemain dari seluruh negara.
Pemangku Pegawai Daerah Belait juga sempat bertemu dengan para peserta bagi mempelajari lebih lanjut tentang bagaimana mereka telah menjaga kesinambungan permainan tradisional ini pada zaman moden.