Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL- Sempena bulan suci Ramadan, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tanjong Nangka, petang kelmarin mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan diselajurkan dengan penyampaian derma anak-anak yatim dan sumbangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan dari Kampung Tanjong Nangka yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Dewan Serba Guna SATENAGA.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Dato Paduka Haji Puasa bin Orang Kaya Seri Pahlawan Tudin, selaku Pengerusi Syarikat Kerjasama Kampung Tanjong Nangka (SATENAGA).
Majlis bermula dengan sumbangan kepada tujuh orang anak yatim dan sumbangan kepada tujuh buah keluarga yang kurang berkemampuan, manakala dua sumbangan lagi kepada warga emas yang melebihi umur 95 tahun ke atas, iaitu Haji Anggas bin Lamuddin (105 tahun) dan Hajah Kambar binti Sabtu (98 tahun).
Majlis terdahulu juga diserikan dengan khatam Al-Quran yang disertai oleh penduduk kampung Tanjong Nangka iaitu seramai 35 peserta lelaki dan 20 peserta Muslimah.
Majlis khatam berkenaan diadakan juga bersempena dengan bulan suci Ramadan yang diungkayahkan setiap tahun dari rumah ke rumah, sejak tahun 30-an lagi. Walau bagaimanapun, sejak negara dilanda COVID19, tadarus di adakan di Bilik Mesyuarat SATENAGA.



