Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 3 MAC – Dengan hasrat mengeratkan lagi ikatan silaturahim sesama warga kampung, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Ukong di bawah Biro Keagamaan dan Pendidikan telah mengadakan Majlis Tahlil, Doa Arwah dan Meraikan Saudara-saudara Baharu Kampung Ukong di Dewan Sekolah Rendah Dato Pemancha Saging Ukong, Daerah Tutong, petang ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Tugas-tugas Khas, Jabatan Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya.
Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Biro Keagamaan dan Pendidikan, MPK berkenaan, Awang Zulmiefaizal bin Abdullah, juga selalu pengerusi majlis antaranya mengongsikan majlis itu merupakan kali kedua dilaksanakan di mana sebelumnya pernah diadakan sekitar 2018 buat julung kalinya sebelumnya pandemik melanda.
Manakala majlis meraikan saudara-saudara baharu kampung berkenaan adalah yang pertama kali dianjurkan oleh MPK tersebut.
“Setakat ini seramai 16 saudara baharu iaitu mereka yang telah memeluk agama Islam sekitar tahun 2021 hingga 2023 secara keseluruhannya. Mereka terdiri daripada enam lelaki dan 10 perempuan termasuklah dua orang yang baharu sahaja memeluk agama Islam pagi tadi.
“Dengan adanya majlis-majlis ini, pastinya ia suatu tanda kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT lebih-lebih dalam kita sama-sama menanti bulan suci Ramadan sekali gus memohon keberkatan dalam pelbagai urusan dunia dan akhirat,” tambahnya.


