Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 27 Feb – Majlis Perundingan Mukim (MPM) Telisai telah mengadakan Majlis Membaca Ratib Al-Attas, Doa Kesyukuran bersempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-34 tahun dan seterusnya Majlis Penyampaian Sijil Ahli Jawatankuasa MPM Telisai sesi 2017-2021 di Masjid Kampung Danau, baru-baru ini.
Majlis dimulakan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti bacaan Ratib Al-Attas yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Danau, Pengiran Hassan bin Pengiran Ismail dan seterusnya diikuti dengan penyampaian sijil kepada 67 orang ahli-ahli MPM Telisai. Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit selaku Penghulu Mukim Telisai bersama ketua-ketua kampung di bawah Mukim Telisai, penasihat MPM Telisai, ahli-ahli Jawatankuasa MPM Telisai, ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Danau, murid-murid Sekolah Ugama Kampung Danau dan penduduk sekitarnya. Sementara itu, majlis turut mengadakan penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan kepada bekas ketua Biro Wanita MPM Telisai bagi sesi 2011-2016, Hajah Mastuyah binti Abdul Ghani.
