Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mpox: 2.64 juta pengembara disaring, tiada kes disyaki – KKM

    PUTRAJAYA, 28 OGOS – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tiada kes disyaki mpox dikesan daripada hampir 2.64 juta pengembara yang disaring di pintu masuk antarabangsa sejak 16 Ogos hingga semalam.

    Menurut KKM, sebanyak 33 kes disyaki mpox dilaporkan di fasiliti kesihatan iaitu 32 kes disahkan negatif dan satu kes masih menunggu keputusan makmal.

    Pengembara dari negara berisiko dinasihatkan membuat pemantauan kesihatan kendiri dalam tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan.

    “Sebanyak 13 makmal mampu membuat ujian pengesanan mpox iaitu lapan makmal kerajaan dan lima makmal swasta, dua daripadanya berupaya membuat sequencing maklumat genetik untuk mengesan varian virus yang dikesan,” menurut kenyataan KKM hari ini.

    Menurut kenyataan itu, sebagai persediaan awal, KKM mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi memaklumkan peranan masing-masing dalam aktiviti kawalan dan pencegahan jangkitan mpox.

    Selain itu, sesi secara maya juga diadakan bersama Kementerian Luar dan perwakilan Malaysia di negara-negara Afrika bagi menggembleng kerjasama untuk mendapatkan serta menyampaikan maklumat kepada warga Malaysia yang berada di negara berkenaan.

    KKM memaklumkan buat masa ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengeluarkan sebarang nasihat atau syor untuk diadakan sekatan perjalanan. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda