Friday, September 13, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mpox: MATTA gesa pengembara ambil langkah berjaga-jaga

    KUALA LUMPUR, 21 OGOS – Pengembara digalakkan mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu dan memantau berita terkini bagi memastikan perjalanan yang selamat, kata Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong.

    Wong berkata demikian berikutan cacar monyet (mpox) diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia buat kali kedua pada 14 Ogos lepas.

    Beliau berkata walaupun kemunculan mpox patut diberi perhatian, pada masa ini ia nampaknya tidak memberi kesan ketara kepada kadar perjalanan di Malaysia.

    “Kita mungkin melihat sedikit perubahan dalam corak perjalanan. Walaupun ini mungkin tidak semestinya menunjukkan penurunan dalam perjalanan keseluruhan, ini boleh membawa kepada perubahan dalam destinasi yang dipilih oleh orang ramai.

    “Buat masa ini, mpox nampaknya terkawal dan oleh itu kami menggesa semua pengembara untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu dan sentiasa mengetahui berita terkini. Kami (pada masa ini) tidak nampak perubahan ketara atau penurunan dalam jumlah perjalanan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat MATTA hari ini.

    Pada Ahad lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan bahawa pengawasan di pintu masuk antarabangsa Malaysia dan usaha advokasi mengenai mpox akan ditingkatkan.

    Mpox diisytiharkan sebagai PHEIC buat kali pertama pada 23 Julai 2022 dan status itu dibatalkan pada 11 Mei 2023. – Bernama

    Nigel Wong (tiga, kiri) dan Ketua Pegawai Komersial MAG Syarikat Penerbangan, Dersenish Aresandiran (dua, kanan) mempamerkan poster MATTA Fair 2024 di ibu pejabat MATTA, pada 21 Ogos – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda