SIBU, 26 JULAI – Majlis Perbandaran Sibu (MPS) merancang menganjurkan pelbagai acara menarik untuk akhir tahun susulan kejayaan penganjuran Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) 2023, baru-baru ini.
Antara acara itu ialah Food Street Sibu, sambutan perayaan krismas dan ambang tahun baharu 2024 yang dijadual bermula seawal 15 Disember bagi menghidupkan suasana meriah di Sibu sekali gus menarik kehadiran pengunjung dari wilayah tengah Sarawak ke bandar itu.
Pengerusi MPS, Clarence Ting Ing Horh berkata acara terbabit akan diadakan di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini.
“Persembahan pentas akan diadakan pada hujung minggu. Sama seperti BCF, kami (MPS) jangkakan banyak orang dari wilayah tengah Sarawak akan datang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPS, hari ini.
Ribuan pengunjung menghadiri BCF 2023 yang diadakan bermula 14 hingga 23 Julai lepas bagi menikmati makanan dan aktiviti kebudayaan.
Beliau turut mengakui satu daripada faktor menarik kehadiran pengunjung pada BCF ialah Pertandingan Kumang dengan ramai yang datang dari luar Sibu bagi memberi sokongan kepada peserta pertandingan ratu cantik berkenaan.
Menurut Ting generasi muda di Sibu mendambakan sebuah bandar yang meriah sekali gus berharap acara hujung tahun itu akan menjadi tempat bagi mereka bergembira.
Beliau berkata BCF 2024 dijadual diadakan pada pertengahan Ogos tahun depan serentak dengan penganjuran Participatory Design Conference (PDC) 2024 oleh Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Katanya penganjuran BCF pada masa itu akan memberi peluang kepada peserta persidangan bertemakan ‘Reaching Out: Connecting Beyond Participation’ itu untuk melawat dan meneroka tempat menarik di Sibu. – Bernama
