Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 5 Mac – Setelah membuka cawangan pertamanya di Brunei hujung tahun lalu, Mr DIY telah membuka cawangan keduanya di Kompleks Berjaya, Kampung Petani, Daerah Tutong.
Perasmian cawangan kedua berkenaan telah diadakan semalam dan bersempena pembukaan cawangan berkenaan, para pelanggan diberikan payung percuma selama dua hari hingga hari ini.
Menurut Pengurus Mr DIY di negara ini, Awang Abdul Muhaymin bin Wanasan, bersempena perasmian cawa-ngan kedua ini, sebanyak 1,000 payung diberikan kepada pelanggan-pelanggan iaitu 500 payung diberikan pada 4 Mac dan 500 lagi diberikan hari ini.

Beliau menjelaskan, mereka memilih Daerah Tutong untuk cawangan kedua kerana mengetahui jumlah penduduk Daerah Tutong adalah kedua terbesar daripada daerah lain dan amat mudah bagi pelanggan-pelanggan dari Daerah Belait untuk menyinggahinya.
Di samping itu, cawangan kedua ini lebih besar berbanding cawangannya yang pertama di Plaza Abdul Razak, Batu Satu yang telah dibuka sejak Disember 2016. Pada masa ini, Mr DIY telah mempunyai lebih 250 cawangan di Malaysia dan menawarkan lebih 20,000 produk yang terdiri daripada barangan rumah seperti alat perkakas elektrik, alat tulis, aksesori kereta,barangan hadiah dan alat-alat permainan.