Sunday, January 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    MRI paling berkuasa imbas imej otak manusia pertama

    SACLAY, PERANCIS – Pengimbas MRI yang paling berkuasa di dunia telah menyampaikan imej pertama otak manusia, mencapai tahap ketepatan baharu yang diharapkan akan memberi lebih banyak pencerahan kepada minda misteri kita – dan penyakit yang menghantuinya.

    Penyelidik di Suruhanjaya Tenaga Atom Perancis (CEA) mula-mula menggunakan mesin itu untuk mengimbas labu pada 2021. Tetapi pihak berkuasa kesihatan baru-baru ini memberi mereka lampu hijau untuk mengimbas manusia.

    Sejak beberapa bulan lalu, kira-kira 20 orang sukarelawan yang sihat telah menjadi orang pertama memasuki mesin pengimejan resonans magnetik (MRI), yang terletak di kawasan Plateau de Saclay di selatan Paris, menempatkan banyak syarikat teknologi dan universiti.

    “Kami telah melihat tahap ketepatan yang tidak pernah dicapai sebelum ini di CEA,” kata Alexandre Vignaud, seorang ahli fizik yang terlibat dalam projek itu.

    Medan magnet yang dicipta oleh pengimbas itu adalah 11.7 teslas, satu unit ukuran yang dinamakan sempena pencipta Nikola Tesla.

    Imej yang dihasilkan Iseult Magneton 11.7 T MRI menunjukkan otak semasa simulasi kajian MRI di kemudahan Neurospin di Gif-sur-Yvette, pada 22 Mac lalu. – AFP
    Seorang saintis melihat ke dalam Iseult Magneton 11.7 T MRI ketika sukarelawan mengambil bahagian dalam simulasi kajian MRI berkenaan.- AFP
    Seorang sukarelawan mengambil bahagian dalam simulasi kajian MRI pada Iseult Magneton 11.7 T MRI. – AFP
    Gambar AFP

    Kuasa berkenaan membolehkan mesin itu mengimbas imej dengan ketepatan 10
    kali ganda daripada MRI yang biasa digunakan di hospital-hospital, yang kuasanya biasanya tidak melebihi tiga teslas.

    Pada skrin komputer, Vignaud membandingkan imej yang diambil oleh pengimbas hebat berkenaan, digelar Iseult, dengan imej dari MRI biasa.

    “Dengan mesin ini, kita dapat melihat saluran-saluran kecil yang menyalurkan kepada korteks serebrum, atau butiran serebelum yang hampir tidak kelihatan sehingga kini,”
    katanya.

    Menteri penyelidikan Perancis, Sylvie Retailleau, yang merupakan seorang ahli fizik, berkata bahawa “ketepatannya sukar dipercayai!”

    “(Mesin) yang pertama di dunia ini akan membolehkan pengesanan dan rawatan yang lebih baik untuk patologi otak,” katanya dalam satu kenyataan kepada AFP.

    Dalam silinder berukuran lima meter panjang dan tinggi, mesin itu menempatkan magnet 132 tan yang dikuasakan oleh gegelung yang membawa arus 1,500 ampere.

    Terdapat bukaan 90 sentimeter untuk manusia meluncur masuk.

    Reka bentuk berkenaan adalah hasil penyelidikan selama dua dekad dengan kerjasama antara jurutera-jurutera Perancis dan Jerman.

    Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan sedang mengusahakan mesin MRI berkuasa yang sama, tetapi masih belum mula mengimbas imej manusia.

    Salah satu matlamat utama pengimbas berkuasa sedemikian adalah untuk memperhalusi pemahaman kita tentang anatomi otak dan kawasan mana yang diaktifkan apabila ia menjalankan tugas tertentu.

    Para saintis telah pun menggunakan MRI untuk menunjukkan bahawa apabila otak
    mengenali perkara-perkara tertentu – seperti muka, tempat atau perkataan – kawasan yang berbeza pada korteks serebrum akan menjadi aktif.

    Memanfaatkan kuasa 11.7 teslas akan membantu Iseult untuk “memahami dengan lebih baik hubungan antara struktur otak dan fungsi kognitif, contohnya apabila kita membaca buku atau menjalankan pengiraan mental,” kata Nicolas Boulant, pengarah saintifik projek itu.

    Para penyelidik berharap kuasa pengimbas itu juga dapat menjelaskan mekanisme yang sukar difahami di sebalik penyakit neurodegeneratif seperti Parkinson atau Alzheimer – atau keadaan psikologi seperti kemurungan atau skizofrenia.

    “Sebagai contoh, kami tahu bahawa kawasan tertentu otak – hippocampus – terbabit dalam penyakit Alzheimer, jadi kami berharap dapat mengetahui cara sel berfungsi di bahagian korteks serebrum ini,” kata penyelidik CEA, Anne-Isabelle Etienvre.

    Para saintis juga berharap untuk memetakan bagaimana ubat-ubatan tertentu yang digunakan untuk merawat gangguan bipolar, seperti litium, diedarkan melalui otak.

    Medan magnet kuat yang dicipta oleh MRI akan memberikan imej lebih jelas mengenai bahagian otak mana yang disasarkan oleh litium.

    Ini boleh membantu mengenal pasti pesakit mana yang akan bertindak balas dengan lebih baik atau lebih teruk kepada ubat tersebut.

    “Jika kita lebih memahami penyakit-penyakit yang sangat berbahaya ini, kita patut dapat mendiagnosisnya lebih awal – dan oleh itu merawatnya dengan lebih baik,” kata Etienvre.

    Untuk sejauh yang nampak pada masa hadapan, pesakit-pesakit biasa tidak akan dapat menggunakan kuasa hebat Iseult untuk melihat dalam otak mereka sendiri.

    Boulant berkata mesin itu “tidak bertujuan untuk menjadi alat diagnostik klinikal, tetapi kami berharap pengetahuan yang dipelajari kemudiannya boleh digunakan di hospital”.

    Dalam beberapa bulan akan datang, sekumpulan pesakit baharu yang sihat akan diambil untuk mengimbas otak mereka.

    Mesin tidak akan digunakan pada pesakit dengan masalah kesihatan untuk beberapa tahun akan datang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda