Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Seramai 360 peserta Program Satu Juz Satu Minggu (1J1M) bagi Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran 1M1J Sesi ke-8 dan Tausiyah Bersama Profesor Dr Ustaz Abdul Somad sempena Israk dan Mikraj yang berlangsung di masjid berkenaan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berserta isteri.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; Penaung I MRSB, Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan Penaung II MRSB, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Majlis tersebut yang mula diperkenalkan pada tahun 2020 merupakan acara tahunan masjid berkenaan yang antara lain bertujuan untuk menggalakkan umat Islam sentiasa berdamping dengan Al-Quran dan istiqamah sebagai kesinambungan amalan.
Peserta program berkenaan memulakan bacaan Al-Quran pada Februari 2024 di mana program tersebut menggunakan 12 halaqah (kumpulan) yang mempunyai 30 peserta setiap satu halaqah.
Terdahulu, peserta yang diraikan bersama jemaah masjid yang lain telah menyertai sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.
Majlis diserikan dengan tausiyah khas sempena Israk dan Mikraj yang disampaikan oleh Profesor Dr Ustaz Haji Abdul Somad dengan tajuk Amalan Membaca dan Menghayati Al-Quran Sepanjang Hayat.
Program berkenaan juga dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan tetamu khas serta jemaah masjid berkenaan.