MRSB susun acara maya rai Maulidur Rasul

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Rakyat Negara Brunei Darussalam la-zimnya meraikan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW setiap 12 Rabiulawal dengan mengadakan pelbagai acara keagamaan termasuk di masjid, surau, balai ibadat dan rumah-rumah persendirian.

Walau bagaimanapun majlis sambutan Maulidur Rasul di peringkat kebangsaan pada tahun ini diadakan dalam suasana yang berbeza disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19 di negara ini. Sehubungan dengan itu, ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB) akan mengendalikan beberapa aktiviti selama 12 malam berturut-turut dalam meraikan salah satu sambutan hari kebesaran Islam itu melalui aplikasi Zoom dan Live Facebook. Antara aktiviti yang telah disusun ialah bacaan selawat, Dikir Marhaban, tazkirah pendek dan bacaan doa.

Sehubungan dengan itu, ahli jawatankuasa takmir berkenaan menjemput para jemaah dan penduduk kampung untuk mengikuti aktiviti dalam talian yang disediakan nanti sebagai memperingati pengorbanan dan jasa agung junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW termasuklah mengenali dengan lebih dekat sejarah kehidupan serta keperibadian tinggi Baginda.

Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah membentangkan pemidang sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini. Meskipun tiada acara dibuat di masjid itu, ahli jawatankuasa takmir masjid mengadakan pelbagai aktiviti secara maya melalui Zoom dan LiveFacebook.