Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Festival Seni Pencak Silat sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta 2017 melabuhkan tirainya di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas, hari ini.
Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) muncul sebagai pemenang keseluruhan diikuti di tempat kedua yang disandang oleh Pertubuhan Gagak Hitam, manakala Perguruan Seni Silat Gerak 41 berada di tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan acara penutup ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Yang Berhormat Pehin menegaskan Festival Pencak Silat bertujuan untuk menghayati seni budaya warisan orang Brunei yang masih lagi disimpan dan dipelihara oleh orang tua-tua, di mana warisan ini diturunkan kepada anak-anak muda generasi belia supaya tidak luput dan tidak dicuaikan dan diubah-ubah seni keasliannya.
“Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menyambut baik trend penglibatan ini yang diyakini mempunyai harapan baik untuk seni silat ini akan dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi sebagai sumber atlet negara bagi penyertaan di kejohanan-kejohanan dan pertandingan di rantau dan peringkat antarabangsa” ujarnya.


Tambahnya lagi, beliau merakamkan ucapan terima kasih, tahniah dan syabas kepada pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan jawatankuasa pengelola acara festival ini dan juga pertubuhan-pertubuhan silat lainnya yang ikut serta dalam menjayakan Festival Seni Pencak Silat kali ini.
Sementara itu, Yang Dipertua Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan (PERSIB), Pengiran Haji Mohamad bin Pengiran Haji Ludin menegaskan supaya tujuan-tujuan dan matlamat tertubuhnya PERSIB akan dapat menghasilkan atau menyatukan semua persatuan seni silat untuk bekerjasama dan melaksanakan tujuan dan hasrat serta mematuhi peraturan-peraturan PERSIB.
Setelah selesainya penyampaian hadiah dan perbarisan kontinjen, Yang Berhormat Pehin kemudian menyarungkan kembali keris bagi pengisytiharan menutup rasmi Festival Seni Pencak Silat.
Acara diserikan lagi dengan persembahan daripada Perguruan Pencak Silat MS ABDB, Perguruan Seni Silat Cakak Benting Betawi, Perguruan Seni Silat Gerak 41 dan Pertubuhan Gagak Hitam (PERGAH).