Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Pasukan MS ABDB secara rasmi diumumkan sebagai juara Liga Super DST untuk kali keempat walaupun perlawanan berakhir dengan Kota Ranger FC mendahului 1-0 pada perlawanan yang diadakan di Stadium Kebangsaan Hassanal Bolkiah malam tadi.
Kedua-dua pasukan tidak dapat menamatkan perlawanan akhir liga musim ini di tengah-tengah hujan lebat menyebabkan perlawanan tersebut hanya dibuat bagi separuh masa pertama sahaja.
Walau bagaimanapun, kejohanan tersebut menobatkan Pasukan MS ABDB berikutan dengan mata yang diperoleh oleh pasukan itu dan terus mendahului liga sejak awal Mac lalu.
Hadir menyaksikan dan seterusnya menyampaikan trofi kepada pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Dalam kejohanan tersebut, Pasukan Wijaya muncul tempat ketiga buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun, kehilangan tempat kedua dengan perbezaan gol. Kasuka FC pula meraih tempat ke-2.