Friday, March 28, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    MS ABDB kekal rekod tanpa kalah

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Pasukan MS ABDB Perwira mengekalkan rekod kemenangan yang cemerlang sekali gus mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Futsal Brunei (BFL) 2023 selepas menewaskan pasukan Street United 7-1 di Dewan Serba guna Kompleks Sukan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, semalam.

    Pasukan MS ABDB Perwira bijak memulakan perlawanan melalui asakan-asakan pantas, bagaimanapun pasukan Street United juga berjaya memberi saingan menarik dengan pantas menghalang pasukan lawan dan membuat serangan balas untuk membolosi gawang lawan.

    Dua jaringan di babak pertama oleh pasukan MS ABDB Perwira telah diperoleh menerusi hasil jaringan LSM Mohd Izzan dan LSM Abdul Malik.

    Perlawanan babak kedua perlawanan bagaimanapun didominasi oleh pasukan MS ABDB Perwira dengan ledakan-ledakan jaringan yang dihasilkan oleh LSM Muhd Izzan diikuti dengan jaringan daripada LSM Abdul Malik serta Mohd Safari Wahit, Mohd Rosaiman Haji Rosaidi dan LS Muhd Khairul Saifuddin yang melengkapkan malam pesta buat MS ABDB Perwira.

    Walau bagaimanapun, Awang Muhd Faris Nasrullah turut berjaya memperoleh jaringan sagu hati buat Street United di minit ke-37 perlawanan.

    “Kemenangan ini sangat penting untuk memastikan pasukan MS ABDB Perwira terus mengemudi carta BFL 2023. Bagaimanapun diingatkan kepada pemain-pemain jangan terlalu leka dengan kemenangan yang sudah dicapai kerana perjalanan liga masih jauh dan kita perlu terus memperbaiki kelemahan dalam pasukan,” jelas pengurus pasukan MS ABDB Perwira, Mejar (U) Pengiran Haji Jufri Pengiran Haji Tajudin.

    Pasukan MS ABDB Perwira kini mengutip 15 mata selepas melalui lima perlawanan, manakala pasukan Kasuka & Ar Rawda, Almerez FT dan GG-Indera SC masih gigih untuk merapatkan jurang pendahulu liga.

    Aksi perlawanan antara Pasukan MS ABDB Perwira dan Street United. – Gambar serahan BFL
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda