Sunday, November 17, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    MS terbuka dengan sebarang cadangan untuk kejayaan sukan renang

    KUALA LUMPUR, 26 MEI – Susulan prestasi buruk skuad renang Malaysia pada Sukan SEA 2023 yang berakhir baru-baru ini, Persatuan Renang Malaysia (MS) menggesa anggota persatuan di peringkat negeri yang mengharapkan pembaharuan, untuk mengemukakan rancangan mahupun penyelesaian terbaik untuk dibincangkan bersama.

    MS dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka dan menggalakkan ahlinya supaya mengutarakan idea-dea untuk perbincangan.

    Menurut persatuan itu, pihaknya akan terus menyokong program kejurulatihan, teknikal dan lain-lain program yang ditampilkan, di samping program berpusat secara langsung di bawahnya dan juga program-program didesentralisasi yang diuruskan oleh negeri dan lain-lain, dengan kepentingan dan kesejahteraan atlet menjadi keutamaan.

    “MS tidak bersendirian dalam tugas dan tanggungjawab untuk kejayaan sukan renang di Malaysia. Semua pihak berkepentingan termasuk anggota persatuan negeri, juga mempunyai tugas dan tanggungjawab dalam mempromosi dan membangunkan sukan serta mengembangkan sukan dan atlet sebagai sumber pemilihan atlet untuk mewakili negara.

    “Perubahan positif hanya boleh muncul melalui rancangan dan penyelesaian konkrit hasil daripada perbincangan bermakna, dan bukannya dengan menangani rungutan yang tidak berasas serta membuat dakwaan mengelirukan yang hampir menjadi fitnah, terutamanya dalam media, sama ada sosial atau cetakan,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu turut menafikan semua dakwaan terhadapnya seperti tuduhan berat sebelah, diskriminasi, pilih kasih, penganiayaan, toksik dan negatif.

    Pada Sukan SEA 2023 di Kemboja bulan ini, skuad renang menjadi bualan ramai selepas hanya membawa satu pingat emas daripada 39 emas yang ditawarkan, sekali gus ia tidak menunjukkan peningkatan, selepas memenangi hanya satu emas pada edisi di Vietnam tahun lepas. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda