MADRID, 25 Feb – Luis Suarez meledakkan hatrik dan Philippe Coutinho menjaringkan gol liga pertamanya dengan menakjubkan ketika pendahulu La Liga, Barcelona membelasah Girona 6-1 awal pagi tadi.
Kemenangan itu sekali gus melebarkan lagi jurang kelebihan mata mereka di puncak liga kepada 10 mata.
Lionel Messi meneruskan prestasi terbaiknya dengan menjaringkan dua gol untuk mencapai 30 gol dalam semua persaingan musim ini, ketika Barca semakin jauh meninggalkan pencabar terdekat mereka, Atletico Madrid, yang akan berkunjung ke Sevilla awal pagi esok.
Real Madrid pula berada di kedudukan ketiga, meskipun menang mudah 4-0 ke atas Alaves, yang menyaksikan Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol dan Gareth Bale kembali dalam senarai penjaring.
Ia adalah perlawanan sempurna buat Barcelona selepas Girona, yang berada di kedudukan kesembilan, membuat kejutan awal dalam kunjungan mereka ke Camp Nou, ketika Messi, Suarez, Coutinho (MSC) dan Ousmane Dembele menyerlah dalam permulaan pertama mereka bersama.

Portu memanfaatkan keraguan pertahanan Barcelona, Samuel Umtiti dan kemudian menewaskan penjaga gol, Andre ter Stegen untuk meletakkan Girona di depan.
Bagaimanapun, pasukan tuan rumah hanya memerlukan dua minit unutk kembali menyamakan kedudukan apabila Messi mengawal bola dari tengah dan membuat hantaran kepada Suarez untuk menjaringkan gol.
Kehebatan Messi telah meletakkan skuad kendalian Ernesto Valverde di depan ketika perlawanan memasuki setengah jam, dengan satu gerakan lincah selepas menerima hantaran Suarez.
Ia seolah-olah peluang sudah tertutup apabila Messi mula dikepung, namun penjaring terbanyak liga itu menunjukkan kelincahannya dengan menewaskan beberapa orang pertahanan sebelum merembat bola ke sudut bawah gawang.
Pemenang lima kali Ballon d’Or kemudian menggandakan kelebihan tujuh minit kemudian dengan satu sepakan percuma licik melepasi bawah dinding pertahanan.
Setelah lima perlawanan tanpa gol sebelum jaringan pentingnya dalam keputusan seri 1-1 di Chelsea dalam saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu, Messi kini sudah menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan. – AFP