SINGAPURA, 30 OKT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia pasti akan membalas pelaburan dan perdagangan yang semakin meningkat dari Singapura ke Malaysia dengan usaha serius untuk menyelesaikan sebahagian besar isu yang masih belum selesai.
“…isu tertunggak kadangkala dianggap boleh menimbulkan pertikaian…di sini saya mencadangkan sebahagian besarnya, diselesaikan secara baik melalui hubungan persahabatan,” kata Anwar dalam sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong.
Anwar berbesar hati melihat kepada tahap pencapaian dalam menyelesaikan isu-isu berkenaan yang menurut beliau ‘tidak pernah berlaku sebelum ini’.
Kedua-dua pemimpin itu bertemu di Singapura hari ini untuk Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10 yang pertama sejak pandemik COVID-19.
Anwar berkata beliau sering mencadangkan agar kedua-dua negara tidak mengambil isu itu secara berasingan sebaliknya melihat secara keseluruhan dari sudut bilateral dan kepentingan untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Menyentuh mengenai isu bekalan air yang telah lama tertunggak, Anwar berkata pendirian Malaysia adalah jelas, “Kami perlu menghormati komitmen bekalan air dari Johor ke Singapura.”
“Kita perlu bekerjasama untuk memastikan Johor akan dapat meningkatkan kapasiti melalui sungai Johor untuk memenuhi keperluan Johor dan Singapura.” – Bernama