Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia akan mulakan rawatan ubat antibodi EVUSHELD

    KUALA LUMPUR, 8 JUN – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan rawatan ubat antibodi “monoclonal Tixagevimab plus Cilgavimab” (EVUSHELD) dalam waktu yang terdekat untuk memastikan golongan berisiko tinggi terus mendapat perlindungan daripada jangkitan COVID.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata buat masa ini ubat antibodi EVUSHELD hanya akan diberikan di hospital kerajaan dan ia boleh digunakan sebagai profilaksis prapendedahan (PrEP) untuk golongan yang belum dijangkiti COVID-19 tetapi berisiko tinggi untuk dijangkiti.

    “Kajian menunjukkan bahawa ubat antibodi EVUSHELD dapat melindungi penerima daripada jangkitan COVID untuk jangka masa enam bulan selepas pemberian suntikan.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Khairy menjelaskan kaedah pemberian ubat antibodi itu adalah melalui dua suntikan intramuskular yang berasingan bagi dua jenis ubat iaitu Tixagevimab dan Cilgavimab yang diberikan secara berturut-turut.

    Katanya bagi pesakit kurang daya tahan imun  (immunocompromised) yang telah menerima vaksin COVID, EVUSHELD hendaklah diberikan sekurang-kurangnya dua minggu selepas vaksinasi.

    Mengulas lanjut, Khairy berkata penilaian kelayakan pesakit untuk menerima ubat antibodi berkenaan akan dilakukan oleh pakar perubatan yang merawat.

    Antara kriteria pemilihan pesakit adalah berumur 12 tahun dan ke atas; mempunyai berat badan melebihi 40kg dan dalam kalangan golongan immunocompromised sederhana hingga teruk (mengambil kira tindak balas imun golongan ini terhadap vaksinasi COVID yang berkemungkinan tidak mencapai tahap imuniti yang memuaskan).

    Selain itu, kriteria pemilihan termasuk individu yang tidak dapat mengambil vaksin sepenuhnya akibat sebab perubatan atau mempunyai sejarah tindak balas teruk terhadap vaksin COVID-19. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda