KUALA LUMPUR, 6 OKT – Malaysia akan memudahkan kemasukan eksport produk pertanian dan ternakan dari Pakistan termasuk daging lembu dan jenis daging lain ke negara ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi eksport pertanian, Malaysia meningkatkan import beras dari Pakistan.
“Terdapat minat untuk mengeksport daging dan daging lembu ke Malaysia. Sudah tentunya kita akan memudahkan perkara ini.
“Memandangkan awda (Shehbaz) telah memberi jaminan kepada kami bahawa harga akan kompetitif, kami sudah pastinya akan melakukan apa yang perlu (untuk memudahkan eksport daging) yang bernilai sehingga AS$200 juta,” kata Anwar, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif ke Malaysia selama tiga hari bermula semalam.

Anwar berkata hubungan Malaysia dan Pakistan telah terjalin sejak 1957, apabila Malaysia mencapai kemerdekaannya – sedekad selepas kemerdekaan Pakistan sendiri.
“Hubungan sejarah, budaya, pendidikan, penyelidikan, pertahanan telah diwujudkan dan kerjasama ekonomi yang sentiasa berkembang diberi tumpuan sejak awal lagi.
“Aspirasi bersama kita adalah kita perlu meningkatkan lagi kerjasama dalam semua bidang,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata antara bidang yang boleh diteroka bersama termasuklah kerjasama dalam pertahanan, pertanian dan tenaga boleh baharu, di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik.
Menurut beliau, Shehbaz juga menggalakkan kedua-dua negara untuk mewujudkan kerjasama lebih erat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), inovasi, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), digital, elektrik dan elektronik, serta semikonduktor.
Lawatan itu merupakan kunjungan rasmi pertama Shehbaz ke Malaysia sejak mengambil alih jawatan pada 4 Mac 2024. – Bernama

