Saturday, January 4, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia ambil alih Kepengerusian ASEAN, sasar perkukuh kerjasama serantau

    KUALA LUMPUR, 1 JAN – Malaysia melangkah ke tahun 2025 dengan penuh keyakinan apabila secara rasmi mengambil alih Kepengerusian ASEAN, menyediakan pentas kepada pelbagai acara antarabangsa yang bertujuan memperkukuh hubungan diplomatik pelbagai hala, meningkatkan kerjasama serantau dan membentuk landskap geopolitik global yang lebih meluas.

    Menyandang kerusi pengerusi buat kali kelima sejak penubuhan ASEAN pada 1967, Malaysia bertekad memacu kumpulan serantau ini ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama, meskipun berdepan perubahan global yang dinamik.

    Dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, Malaysia akan menganjurkan lebih 300 mesyuarat dan program utama di seluruh negara sepanjang tahun.

    Sebagai tuan rumah, Malaysia juga akan melaksanakan pelbagai inisiatif, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan penjagaan kesihatan.

    Program-program itu sejajar dengan tiga tonggak utama ASEAN iaitu Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC). Ia turut mencerminkan aspirasi Malaysia untuk sebuah ASEAN yang bersatu, makmur dan progresif, sekali gus memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai kuasa ekonomi yang sedang meningkat dan pemain global yang dinamik.

    Sebagai sebahagian daripada visi 2025, Malaysia akan memimpin usaha ASEAN dalam mengguna pakai Visi Komuniti ASEAN 2045, yang merangka masa depan bersama untuk dua dekad akan datang.

    Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ASEAN 2025 bakal menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif baharu, menyuntik semangat baharu kepada kumpulan serantau yang berusia 57 tahun ini.

    Antaranya ialah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Campur China yang julung kali akan diadakan pada Mei. Mesyuarat peringkat tinggi itu, hasil inisiatif perdana menteri, dijangka membuka jalan kepada kerjasama lebih erat antara rantau Asia Tenggara, negara-negara Teluk, dan ekonomi kedua terbesar dunia dalam pelbagai sektor. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda