M’sia, AS tingkat perdagangan, pelaburan

KUALA LUMPUR, 18 NOV – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) telah menandatangani kenyataan bersama yang menyentuh mengenai kepentingan untuk meningkatkan kerjasama masa hadapan dalam aspek yang berkaitan dengan pemapanan perdagangan, pelaburan, fasilitasi industri dan hubungan serta kerjasama teknikal.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kedua-dua negara bersetuju untuk berkolaborasi dalam bidang seperti produk pengawalan perubahan iklim, perdagangan digital, peranti perubatan dan elektrik dan elektronik.

“Selanjutnya, kedua-dua negara bersetuju untuk saling berkolaborasi dengan rakan kongsi industri untuk meningkatkan kerjasama dalam ketelusan, keselamatan dan daya tahan rantaian bekalan semikonduktor,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat meja bulat semikonduktor bersama-sama dengan Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo bersempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia hari ini.

Azmin berkata pada sesi meja bulat itu, syarikat-syarikat semikonduktor terkemuka yang mengambil bahagian telah menyatakan pandangan yang tertumpu kepada tiga bidang utama iaitu kesan COVID-19 ke atas rantaian bekalan global; kesan pandemik terhadap syarikat semikonduktor Malaysia di peringkat domestik dan serantau; dan langkah ke hadapan untuk Malaysia meningkatkan daya tahannya dalam rantaian bekalan global serta peranan AS dalam memperkukuh usaha ini.

Mengenai lawatan rasmi Raimondo, Azmin berkata ia memperlihatkan hubungan ekonomi Malaysia-AS yang utuh serta hubungan dua hala yang dinamik di antara kedua-duanya yang telah dibina sejak beberapa dekad lalu.

Beliau menambah lawatan sulung Raimondo ini dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyaksikan mereka berkongsi pandangan mengenai pelbagai perkara termasuk pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi. – Bernama