Wednesday, October 30, 2024
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia bantah Knesset Israel haramkan operasi UNRWA

    KUALA LUMPUR, 30 OKT – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya rang undang-undang yang diluluskan Parlimen Israel (Knesset) baru-baru ini yang mengharamkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) daripada beroperasi di Baitulmuqaddis, Tebing Barat dan Gaza.

    Kementerian Luar Malaysia, Wisma Putra hari ini mengeluarkan satu kenyataan yang mengutuk tindakan ini sebagai serangan terang-terangan terhadap agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyifatkannya sebagai ‘satu penghinaan serius kepada masyarakat antarabangsa dan kehormatan sesebuah agensi kemanusiaan antarabangsa.’

    “Malaysia menegaskan lagi bahawa rejim Zionis Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, di mana kehadiran UNRWA diiktiraf menerusi satu perjanjian antara Palestin dan PBB,” katanya. 

    Wisma Putra berkata rang undang-undang berkenaan seolah-olah berniat menghalalkan tindakan rejim Zionis Israel yang disengajakan dan  jelas menyalahi undang-undang antarabangsa untuk menghapuskan UNRWA sebagai sebahagian daripada strateginya untuk menenggelamkan isu pelarian Palestin.

    Kementerian Luar berkata tindakan itu juga menafikan hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka seperti yang didukung Resolusi Perhimpunan Agung PBB 194, dan untuk mengakibatkan kebuluran kepada mereka yang terselamat daripada bencana kemanusiaan dan genosid yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Gaza. 

    UNRWA kekal sebagai satu talian hayat penting untuk lebih 5.9 juta rakyat Palestin,menyediakan perkhidmatan penting dalam pendidikan, penjagaan kesihatan dan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Palestin di seluruh Timur Tengah.  

    Malaysia kekal teguh dalam memberi sokongan kepada UNRWA dan menggesa masyarakat antarabangsa  untuk mengambil tindakan yang tegas dan segera untuk melindungi agensi ini dan menamatkan penderitaan yang dialami rakyat Palestin, katanya. 

    Isnin lalu media antarabangsa melaporkan bahawa parlimen Israel telah mengundi untuk mengharamkan operasi UNRWA di wilayah yang diduduki dalam tempoh 90 hari, tanpa menghiraukan tekanan antarabangsa dan Amerika Syarikat untuk mengekalkan operasi penyedia bantuan kemanusiaan terbesar kepada warga Palestin itu.

    Dengan undian 92-10, Knesset mengharamkan agensi itu yang beroperasi di Israel menurut Perjanjian 1967 daripada melakukan “sebarang aktiviti” atau menyediakan sebarang perkhidmatan dalam Israel termasuk wilayah yang diduduki Baitulmuqaddis Timur, Gaza dan Tebing Barat. – Bernama

    Kanak-kanak pelarian Palestin berkumpul di halaman belakang sekolah UNRWA, di Sidon, Lubnan pada September 2023. Israel mahu haramkan UNRWA beroperasi. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda