Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia bawa mandat di Riyadh, hentikan kekejaman Israel

    KUALA LUMPUR, 4 NOV – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima jemputan daripada Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud bagi menyertai Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam pada 11 November ini untuk membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin.

    Anwar berkata kehadiran beliau ke sidang kemuncak tergempar di Riyadh itu bagi membawa mandat Dewan Rakyat, iaitu untuk mengambil tindakan bagi menghentikan kekejaman berterusan Israel ke atas rakyat Palestin.

    Beliau berkata Malaysia juga akan membawa isu pencerobohan dan pemusnahan pusat-pusat ibadah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT); serangan terbuka ke atas wilayah-wilayah di Lubnan serta Iran, termasuk pembunuhan Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar.

    “Selain itu persidangan ini juga akan membincangkan permasalahan semasa dihadapi oleh Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East – UNRWA), berikutan keputusan rejim Israel mengharamkan operasi pertubuhan bantuan kemanusiaan tersebut pada 28 Oktober baru-baru ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sesi penerangan mengenai isu Palestin di Dewan Rakyat hari ini.

    Anwar berkata selama 75 tahun, UNRWA merupakan tali hayat utama penyaluran bantuan antarabangsa kepada rakyat Palestin dan peranan penting UNRWA di Palestin juga disokong penuh Malaysia dengan bantuan, kerjasama dan penyelarasan akan terus ditingkatkan. 

    “Sokongan berterusan Malaysia terhadap UNRWA ini agak kritikal dan kita juga mendapat penghargaan daripada Pesuruhjaya Agung UNRWA Philippe Lazzarini yang dizahirkan kepada Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) dalam sidang PBB lepas dan memohon kerjasama ini dapat ditingkatkan,” katanya.

    Perdana Menteri berkata sudah setahun Israel melaksanakan genosid di bumi Gaza dan sehingga 1 November lepas, konflik di wilayah itu telah mengorbankan 43,204 rakyat Palestin, termasuk 16,500 kanak-kanak.

    “Situasi di Gaza malangnya terus meruncing dan seperti mana saya tegaskan kerana keganasan itu tanpa henti with impunity, dengan izin, dan dengan dukungan langsung dan tidak langsung dari negara-negara sekutu Israel,” katanya. 

    Anwar berkata pada sidang kemuncak itu, Malaysia juga akan mengusulkan agar sokongan sepenuhnya diberikan kepada UNRWA dalam melaksanakan mandatnya bagi memberi perkhidmatan sosial dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

    Beliau berkata Malaysia berhasrat menggunakan sidang kemuncak itu untuk meraih sokongan negara-negara Arab dan Islam terhadap inisiatif tersebut dan menghalang pelaksanaan keputusan Parlimen Israel (Knesset) pada 28 Oktober lepas, yang bertujuan melenyapkan UNRWA dan memburukkan situasi kemanusiaan di utara Gaza yang mengalami kebuluran setelah terputus bantuan asas sejak sekian lama.

    “Salah satu pendekatan boleh diambil adalah bagi Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam memberi sokongan kepada usaha mediasi gencatan senjata oleh Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar kerana sejak Mei lepas, ketiga-tiga negara ini telah membangunkan satu kerangka perjanjian yang perlu dipersetujui oleh semua pihak terlibat.

    “Kegusaran kita adalah kerana tindakan kejam Israel itu tidak mungkin berlaku tanpa dukungan negara-negara yang membekalkan senjata terus-menerus kepada Israel termasuk Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah,” katanya.

    Anwar berkata penting bagi Malaysia dan komuniti antarabangsa mengutuk jenayah genosid di Palestin dan memberi tekanan ke atas Israel untuk melaksanakan gencatan senjata dengan segera bagi membolehkan bantuan ubat, makanan dan keperluan kemanusiaan lain dihulurkan kepada rakyat Palestin, selain untuk menggerakkan Special Committee against Apartheid di PBB ke atas Israel.

    Beliau berkata penyertaan Malaysia sebagai ahli Perikatan Global juga sebahagian usaha untuk meningkatkan tekanan diplomatik ke atas Israel bagi melaksanakan gencatan senjata kekal di Gaza, menggesa pembebasan tahanan Palestin, berundur daripada wilayah yang dijajah dan menangani penderitaan rakyat Palestin menerusi penyambungan segera bantuan kemanusiaan.

    “Kita juga akan membincangkan pelan tindakan dan mengenal pasti langkah-langkah konkrit ke arah mencapai kemerdekaan mutlak Palestin dalam tempoh garis masa yang munasabah.

    “Sebagai sebuah negara yang mendukung prinsip keadilan dan perundangan antarabangsa, Malaysia terus komited dalam memperjuangkan hak Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka serta penyelesaian yang adil dan muktamad,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Malaysia hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda