Friday, September 30, 2022
24.8 C
Brunei

M’sia berpotensi bekalkan stok suapan SAF

-

SINGAPURA, 20 SEPT – Malaysia berpotensi besar untuk membekalkan stok suapan kepada syarikat yang boleh menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF), kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata Malaysia bergerak ke arah membekalkan bahan mentah itu kerana banyak sumber yang boleh digunakan seperti bangkai haiwan dan minyak masak yang terpakai.

“Jadi dalam kes ini, nampak memang potensi kita besar… kalau kita lihat lemak haiwan banyak, minyak masak goreng sahaja Malaysia paling banyak, secara komersial, di mana sahaja.

“Kos pengangkutan ialah kos yang paling besar. Kalau ia boleh dilakukan di Malaysia, ia memang penuh dengan sumber-sumber ini, ia akan menguntungkan negara,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Neste Singapura di Tuas hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) dan Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Philip See serta Pengarah Projek Pengembangan Neste Singapura Petri Jokinen.

Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong mendengar penerangan daripada Petri Jokinen (kanan) ketika membuat lawatan kerja ke kilang penapisan minyak Neste, Tuas, kelmarin. – Bernama

Wee berkata setakat ini, setiap langkah Malaysia berkaitan penerbangan adalah seiring dengan matlamat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) iaitu memperkasa agenda Skim Pengurangan dan Mengimbangi Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA) serta penggunaan SAF.

Beliau berkata harga SAF adalah kira-kira tiga kali lebih mahal berbanding bahan api konvensional tetapi ia satu perkara yang perlu Malaysia patuhi menjelang 2030. 

Wee berkata Malaysia berhasrat menetapkan sasaran bagi peratusan penggunaan SAF pada 2050 tetapi nilai ambang perlu diwujudkan terlebih dahulu kerana negara sedang melihat pelbagai langkah untuk menjadikannya lebih menarik.

“Malaysia mempunyai beberapa varieti stok suapan dan biojisim yang mungkin boleh dipertimbang bagi bahan bakar drop-in SAF. Memandangkan SAF akan menjadi penyumbang utama kepada pengurangan CO2 (karbon dioksida) menjelang 2050 (sehingga 65 peratus menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA)) bagi penerbangan antarabangsa, adalah wajar lebih banyak tumpuan diberikan kepada inisiatif ini,” katanya. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China: Tiada siapa berhak guna veto nasib rakyat Palestin

BEIJING, 29 SEPT - China menegaskan tiada siapa berhak menggunakan kuasa veto masing-masing dalam isu-isu mengenai masa depan dan nasib rakyat Palestin, lapor agensi...
- Advertisment -