KUALA LUMPUR, 29 DIS – Penggiat industri pelancongan di Malaysia bersiap sedia untuk menerima kedatangan pelancong dari China apabila negara itu dijangka melonggarkan dasar sifar COVID-19 tahun hadapan, kata Presiden Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis.
Beliau berkata keputusan Beijing untuk memansuhkan syarat kuarantin wajib bagi ketibaan luar negara dan pembukaan semula sempadannya dijangka membawa masuk tiga juta pelancong ke Malaysia yang sekali gus akan membantu meningkatkan ekonomi.
“China amat penting kerana negara itu mempunyai jumlah (penduduk) yang ramai dan mereka pembelanja besar serta mampu untuk menyumbangkan angka yang bagus untuk ekonomi negara,” katanya pada sidang media Persediaan Industri Pelancongan Menerima Pelancong dari China dan pelancaran Piala Fish Tales 2023 – Cabaran Pro Cina Global di sini hari ini.
Dalam pada itu, Uzaidi berkata persatuan itu memberikan komitmen penuh untuk mematuhi langkah pencegahan COVID-19 oleh Kementerian Ke-sihatan bagi mengelakkan penularan wabak itu di negara ini.
“Dalam industri ini, kita akur walaupun teruja nak bawa masuk pelancong, kita kena pastikan keselamatan diutamakan. Pihak pemain industri (pelancongan) sangat terkesan (sewaktu negara dilanda COVID-19) dulu…jadi penting untuk pihak industri jaga SOP (prosedur operasi standard),” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya pelancong memasuki Malaysia di bawah ejen pelancongan bertauliah, langkah itu paling baik kerana akan membantu kerajaan memantau pergerakan mereka sekali gus dapat mengurangkan risiko penularan wabak dan mengatasi isu lain seperti tinggal lebih masa. – Bernama
