ABU DHABI, 16 OKT – Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kelmarin membuat panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Brunei, berhubung perkembangan terkini di Gaza dan usaha untuk mengurangkan ketegangan serta melindungi orang awam.
Dalam perbualan dengan Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan dari UAE, kedua-dua menteri turut membincangkan kesan krisis semasa (Palestin-Israel) terhadap keselamatan dan kemanusiaan dan usaha segera untuk membuka koridor selamat bagi membolehkan bantuan perubatan dan kemanusiaan kepada orang awam yang terjejas.
“Kedua-dua menteri itu menekankan pentingnya tindakan segera untuk membendung krisis semasa dan menamatkan ekstremisme, ketegangan dan keganasan yang mencetuskan ketidakstabilan di rantau ini,” lapor agensi berita Emirates (WAM).
Sementara itu, dalam ciapannya kepada Menteri Hal Luar Negeri Kedua Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Datuk Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, Zambry berkata mereka berazam untuk bekerjasama di semua platform untuk mengatasi situasi di Palestin.
Dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Turkiye, Hakan Fidan, Zambry berkata kedua-dua mereka tidak sabar untuk bertemu di Jeddah, Arab Saudi untuk meneroka kemungkinan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza. – Bernama
