M’sia catat 11 kes baharu, 5 libatkan kluster Tawar

PUTRAJAYA, 25 OGOS – Sebanyak 11 kes baharu COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas dengan lima daripadanya melibatkan Kluster Tawar, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkembangan terbaharu setakat 12 tengah hari itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak tersebut di negara ini sebanyak 9,285 kes sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 189 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 11 kes baharu yang dilaporkan, dua adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan satu rakyat Malaysia dan satu bukan warganegara.

“Dua kes import tersebut, kedua-duanya di Selangor, ialah dari Filipina dan Indonesia,” katanya pada sidang media COVID-19, di sini hari ini.

Mengenai sembilan kes penularan dalam negara, beliau berkata kesemuanya melibatkan rakyat tempatan dengan tujuh kes di Kedah termasuk lima daripada Kluster Tawar.

Menurut DR Noor Hisham, sehingga kini terdapat lapan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 125 kes iaitu 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata terdapat enam kes telah pulih COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan  itu sebanyak 8,971 kes iaitu 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama