Wednesday, July 17, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    M’sia, China setuju selesai pertikaian Laut China Selatan

    KUALA LUMPUR, 20 JUN – Malaysia dan China bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan secara aman, melalui perbincangan dan rundingan mesra, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut.

    Dalam menekankan kepentingan mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan, kedua-dua pihak akan melancarkan dialog dua hala mengenai pengurusan isu maritim seawal mungkin untuk memupuk perbincangan dan kerjasama maritim.

    “Kedua-dua pihak akan bekerjasama dengan negara-negara ASEAN yang lain untuk melaksanakan sepenuhnya dan berkesan Deklarasi Kod Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) secara keseluruhan dan menantikan kesimpulan awal Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang berkesan dan substantif,” menurut kenyataan bersama antara China dan Malaysia yang dikeluarkan hari ini.

    Selain itu kedua-dua negara berkongsi kepentingan memelihara dan mengekalkan keamanan dan keselamatan di rantau Asia Pasifik, disokong oleh penghormatan terhadap kedaulatan dan pematuhan kepada peraturan dan norma yang dipersetujui.

    “Kedua-dua negara bersetuju untuk menyokong usaha memelihara Asia Tenggara sebagai rantau yang bebas daripada senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran lain, sambil menyumbang kepada usaha global mengenai pelucutan senjata, non-proliferation dan penggunaan tenaga nuklear secara aman, selaras dengan Perjanjian mengenai Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ),” katanya.

    Dalam kenyataan yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang industri pertahanan dan meningkatkan pertukaran dan kerjasama mengenai keselamatan negara.

    Kedua-dua Anwar dan Li mengulangi tentangan terhadap sebarang bentuk keganasan dan akan mengukuhkan kerjasama dalam keselamatan penguatkuasaan undang-undang dan antikeganasan, bersama-sama menangani jenayah rentas sempadan dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.

    Lawatan beliau bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China susulan pemeteraian Penyataan Bersama antara Perdana Menteri Kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China ketika itu, Chou En Lai pada 31 Mei, 1974. – Bernama

    Li berucap semasa majlis makan tengah hari dengan Anwar Ibrahim di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Malaysia kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Nepal, India kerjasama cari mayat hilang tragedi bas hanyut

    KATHMANDU, 17 JULAI – Pihak berkuasa tempatan sedang berkerjasama dengan pegawai sempadan daerah India untuk mencari mayat dalam kemalangan Simaltal, di mana tanah runtuh...