Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    M’sia giat pantau hepatitis, 1 kes dikesan di Sabah

    KUALA LUMPUR, 6 MEI – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mempertingkatkan pemantauan bagi hepatitis akut di semua klinik dan hospital menggunakan definisi kes yang telah dipersetujui oleh pakar-pakar perubatan klinikal dan kesihatan awam.

    “Protokol rujukan dan pengurusan kes Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya (Acute Hepatitis of Un-known Aetiology) sedang dibangunkan,” kata Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin hari ini.

    Beliau juga menyeru untuk merujuk kanak-kanak satu bulan hingga 18 tahun yang menunjukkan gejala jaundis dan hepatitis akut ke hospital untuk pengurusan kes selanjutnya.

    “Ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mengalami gejala berkaitan hepatitis akut seperti dinyatakan adalah dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran,” ujarnya.

    KKM akan terus memantau situasi kejadian Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya dalam kalangan kanak-kanak dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa, kata beliau.

    Katanya, hasil pemantauan yang telah dijalankan buat masa ini terdapat seorang kanak-kanak lelaki warganegara berumur empat tahun 11 bulan di Sabah dengan gejala hepatitis akut telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Sabah pada bulan lepas.

    “Kes ini mengalami gejala jaundis, demam, kurang selera makan, loya dan muntah. Selanjutnya, dilaporkan fungsi hepar kanak-kanak ini semakin merosot sehingga memerlukan transplantasi hepar pada 30 Mac 2022 di sebuah hospital di Lembah Klang. Kanak-kanak ini telah discaj dari hospital pada 21 April 2022 dalam keadaan sihat,” kata Khairy.

    Beliau berkata pada 23 April 2022, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui WHO Event Information Site (EIS) telah melaporkan kejadian Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur antara satu bulan hingga 16 tahun. Katanya, sehingga 21 April 2022, WHO telah menerima pelaporan sebanyak 169 kes melibatkan 12 buah negara.

    “United Kingdom melaporkan bilangan kes tertinggi sebanyak 114. Negara lain yang turut melaporkan kes adalah Sepanyol, Israel, Amerika Syarikat, Denmark, Ireland, Itali, Belanda, Perancis, Norway, Belgium dan Romania. Setakat ini hanya satu kematian telah dilaporkan,” katanya.

    Beliau berkata kejadian hepatitis akut yang dilaporkan itu dikategorikan sebagai Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya kerana penyebab lazim hepatitis seperti virus hepatitis A, B, C, D atau E tidak dikesan melalui ujian makmal. – Bernama

    Gambar fail menunjukkan Khairy Jamaluddin semasa menghadiri sidang media di Kementerian Kesihatan. Beliau berkata KKM telah mempertingkatkan pemantauan bagi hepatitis akut di semua klinik kesihatan dan hospital. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...