Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia henti eksport 3.6 juta ayam sebulan ke Singapura

    SINGAPURA, 1 JUN – Barisan panjang di gerai-gerai menjual hidangan ayam popular, peningkatan harga dan amaran tentang gangguan bekalan menyebabkan penduduk Singapura berasa resah dengan sekatan eksport ayam itik dari negara jiran Malaysia.

    Tindakan Malaysia menghentikan eksport 3.6 juta ayam sebulan ke Singapura bermula hari ini adalah langkah perlin-dungan terbaharu di Asia yang bertujuan untuk menangani kekurangan domestik dan meredakan kenaikan inflasi.

    Namun langkah mengejutkan itu telah menyebabkan kebingungan di Singapura yang bergantung kepada Malaysia bagi sebahagian besar import makanan negara itu termasuk satu pertiga bekalan ayam.

    Salah satu kebimbangan adalah kesan ke atas jualan nasi ayam, yang menjadi juadah popular dan sering dijual di medan selera.

    Pengasas Nasi Ayam Tian Tian Hainanese, salah satu gerai nasi ayam terkenal di Singapura, Foo Kui Lian, berkata harga ayam sudah pasti meningkat.

    “Sekiranya pembekal menaikkan harga terlalu tinggi, maka kami terpaksa menaikkan harga hidangan kami sedikit. Jika tidak susah untuk kami bertahan,” katanya.

    Sehari sebelum larangan eksport dikuatkuasakan, barisan panjang mula dilihat di sebahagian besar gerai nasi ayam di negara pulau itu.

    Antara yang turut beratur adalah pekerja pejabat, Meilan Lim, yang membeli juadah itu sebelum kehabisan stok.

    “Walaupun saya bukan penggemar nasi ayam, kadang kala rasa mengidam itu ada. Sekiranya larangan eksport itu berlarutan untuk jangka masa yang lama, ia akan menjadi masalah kepada saya,” katanya. – AFP

    Ayam yang dijual di sebuah gerai nasi ayam di Singapura pada 31 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda