Wednesday, July 3, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Msia, Indonesia cadang pelayaran Muhibah Budaya Jalur Rempah diiktiraf UNESCO

    MELAKA, 30 JUN – Melaka dan Indonesia akan mencadangkan pelayaran ‘Muhibah Budaya Jalur Rempah’ mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kedua-kedua kerajaan.

    Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata perbincangan berkenaan dilaksanakan kedua-dua pihak menerusi jawatankuasa bersama yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

    “Usaha untuk mengangkat cadangan itu ke peringkat UNESCO memerlukan perbincangan lebih teliti, ia akan turut melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Luar kerana ia membabitkan kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan.

    “Pelayaran Muhibah Budaya Jalur Rempah merupakan satu pendekatan yang amat baik untuk kita mempertahankan budaya dan kesenian yang kita ada bersama dalam rumpun Nusantara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Muhibah Budaya Jalur Rempah Melaka di Banda Hilir hari ini.

    Turut hadir Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono; Direktor Jenderal Kebudayaan, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi Indonesia, Hilmar Farid serta Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan.

    Datuk Abdul Razak Abdul Rahman bersama delegasi kepimpinan dari Indonesia dan ‘laskar rempah’ selepas merasmikan Program Muhibah Budaya Jalur Rempah Melaka di Banda Hilir, Melaka, kelmarin. – Bernama

    Abdul Razak berkata program Muhibah Budaya Jalur Rempah akan dijadikan acara tahun melibatkan kedua-dua kerajaan bagi memperkukuh hubungan kedua-dua pihak sekali gus mengkaji dan menilai semula sejarah dan dokumentasi laluan rempah yang menjadi hubungan pertukaran budaya dan sejarah di Nusantara.

    Beliau berkata pelayaran Muhibah Budaya Jalur Rempah menggunakan Kapal Republik Indonesia (KRI) Dewaruci yang membawa 120 ‘laskar rempah’ termasuk wartawan, penulis, penyelidik dan pemain industri kebudayaan dari negara berkenaan tiba kira-kira jam 10 pagi di Pelabuhan Tanjung Bruas hari ini.

    Pelayaran berkenaan merupakan kali ketiga dilaksanakan sejak 2020 dan Melaka merupakan destinasi persinggahan pelayaran pertama di luar Indonesia selain kumpulan delegasi pelayaran itu akan berada di bandar raya ini selama empat hari bermula hari ini.

    “Pelayaran berkenaan bermula pada 7 Jun lepas melalui tujuh titik Jalur Rempah bermula di Jakarta, Belitung Timur, Dumai dan Sabang di Indonesia sebelum ke Melaka dan meneruskan semula perjalanan ke Tanjung Uban, Lampung dan Jakarta.

    “Melaka menjadi pilihan destinasi pertama persinggahan pelayaran misi Jalur Rempah di luar Indonesia ekoran hubungan sejarah yang sangat panjang antara kedua-dua kerajaan selain Melaka telah diiktiraf UNESCO sekali gus memperkukuh hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kira-kira 115,000 pelarian Afghanistan dari Pakistan, Iran pulang ke tanah air

    KABUL, 2 JULAI – Kira-kira 115,000 pelarian Afghanistan dari Pakistan dan Iran telah pulang ke negara asal mereka sejak sebulan lalu, menurut Kementerian Pelarian...