Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    M’sia-Indonesia hidupkan semula projek kereta

    JAKARTA, 29 Jun – Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan kemungkinan untuk menghidupkan semula projek kereta Malaysia-Indonesia untuk pasaran ASEAN.

    Dr Mahathir berkata idea itu pernah diketengahkannya pada Februari 2015 semasa memandu uji sebuah kereta Proton dengan Presiden Indonesia Joko Widodo duduk di bahagian penumpang hadapan.

    “Ketika itu, saya bukan lagi Perdana Menteri dan saya memandu 180 kilometer sejam di litar uji Sepang. Bapak Presiden (Jokowi) tidak merungut apa-apa (ketika kereta itu dipandu laju) ” kata beliau dalam sidang media bersama-sama Jokowi di sini, hari ini.

    Sebelum itu, Jokowi ketika mengimbau pengalaman itu, berkata beliau tidak bimbang kerana yang memandu adalah Dr Mahathir.

    “Saya tidak takut kerana pemandunya ialah Pak Mahathir,”katanya.

    Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (depan dua, kiri) diiringi Presiden Indonesia Joko Widodo (depan, kiri) pada perbarisan kawalan kehormat ketika tiba di Istana Bogor hari ini. – Bernama

    Dr Mahathir dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Indonesia, negara pertama Asia Tenggara yang dikunjunginya selepas menyandang jawatan Perdana Menteri susulan kemenangan menakjubkan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum Mei lepas.

    Terdahulu, beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diberi sambutan rasmi di Istana Presiden Bogor setibanya di sini oleh Presiden Joko Widodo dan isteri Iriana Joko Widodo dan turut anak pokok Meranti di Istana Presiden Bogor.

    Pada pertemuan itu juga, kedua-dua pemimpin membincangkan isu-isu dua hala yang melibatkan kepentingan bersama. Lawatan Perdana menteri juga menyediakan platform bagi kedua-dua negara untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama. Ia juga membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar-dasar terbaharu kerajaan dan pendiriannya, terutamanya mengenai isu yang melibatkan manfaat dan kepentingan bersama. Beliau akan pulang ke Kuala Lumpur petang ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda